suria

Terbuka Malaysia: Ramdan Tewas Aksi Kelayakan

KUALA LUMPUR: Juara perseorangan badminton kebangsaan, Misbun Ramdan Misbun gagal menyekat kemaraan pemain China, Chen Yuekun pada pusingan kelayakan Terbuka Malaysia Maybank apabila tewas 21-15 21-16 di Bukit Jalil, Selasa.

Aksinya pada pusingan kelayakan ini sememang dinanti-nantikan selepas mempamerkan aksi cemerlang di peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Ramdan yang tewas dalam tempoh 26 minit turut menjadi perhatian minggu lalu apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara mengejut atas alasan peribadi.

Sementara itu, aksi kelayakan wanita perseorangan, Lee Ying Ying berjaya mencatat kemenangan menewaskan pemain dari Jerman Claudia Vogelgsang secara rubber set, 18-21 21-6 21-13.

Ying Ying tewas pada set pertama, namun bangkit pada set seterusnya selepas menguasai dengan bijak corak permainan pihak lawan.

Bagi acara beregu pula, pasangan negara, Chong Yee Han/Tan Kian Meng berjaya menjinakkan pasangan India, Manu Attri/Semueeth Reddy B 21-11 21-16.

Artikel Lain