suria

Perlumbaan Kapcai Endurance KBS-MAM Di Kampung Gajah Hujung Minggu Ini

KUALA LUMPUR: Siri perlumbaan KBS-MAM Kapcai Endurance pusingan kedua terakhir akan berlangsung di Kampung Gajah, Perak, hujung minggu ini yang bertujuan mencungkil lebih ramai bakat dari kampung.

"Seperti pusingan pembukaan yang kami adakan di Pekan, Pahang dan Pusingan 3 di Miri, Sarawak, kami menjangka ramai bakat dan muka baharu serta bakat 'kampung' akan menyertai perlumbaan ini. Sungguh menggembirakan apabila mendapati terdapat begitu ramai penunggang berbakat di kampung dan luar bandar.

"Kami gembira kerana sesetengah pasukan kampung ini melayakkan diri ke Grand Final bulan depan dan kami yakin, banyak penunggang dan pasukan baharu yang akan melayakkan diri melalui pusingan yang diadakan di Kampung Gajah nanti," kata pengurus projek Eizwar Supiar dalam kenyataan, Selasa.

Perlumbaan ini diilhamkan Kementerian Belia dan Sukan dan dibantu Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) serta Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC).

Ia diperkenalkan sebagai satu lagi usaha untuk melahirkan lebih ramai penunggang kelas dunia seperti penunggang Moto 3 Malaysia Muhammad Zulfahmi Khairuddin.

Eizwar berkata matlamat utama perlumbaan ini ialah untuk menarik lebih ramai muka baharu dan bakat kampung yang belum teruji kebolehan mereka, menyertai dan meraih pengalaman dalam perlumbaan kompetitif.

"Sebenarnya, siri ini memberi penekanan kepada pembangunan di peringkat akar umbi, walaupun kami juga mengalu-alukan penyertaan pasukan sudah ternama dan penunggang sepenuh masa. Setakat ini, saya berani menyatakan bahawa sambutan daripada muka baharu sungguh menggalakkan," katanya.

Membuka tirainya di Pekan, Pahang pada September tahun lepas, perlumbaan di Litar Lumba Dato' Sagor di Kampung Gajah merupakan perlumbaan pusingan ketujuh daripada keseluruhan lapan pusingan, dengan pusingan akhir dijadual berlangsung di Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Grand Final akan diadakan di Litar Sepang, dengan pelumba yang menduduki tempat teratas secara automatik layak menyertai perlumbaan Piala SIC Ninja 250, yang membolehkan penunggang melayakkan diri untuk dipilih secara wild card menyertai Grand Prix Motosikal Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain