suria

Hati-Hati Dengan Mat Yo - Piya

KOTA BAHARU: Jentera pertahanan Kelantan perlu berwaspada dengan penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha, kerana pemain itu pernah beraksi bersama The Red Warriors.

Itu ingatan yang dilontar kapten The Red Warriors, Mohd Badri Mohd Radzi kepada pasukannya menjelang perlawanan pertama menentang Harimau Selatan di Stadium Sultan Muhammad ke IV malam esok.

"Bagi saya, pemain di barisan pertahanan perlu memberi lebih perhatian kepada Mat Yo (Norshahrul) kerana pemain itu pernah beraksi bersama Kelantan (sebelum ini)," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Norshahrul, yang mengikat kontrak beraksi selama dua tahun bersama gergasi Pantai Timur itu pada 2011, memutuskan untuk menamatkan kontrak secara sebelah pihak ketika kemuncak Piala Malaysia pada musim lalu.

Tindakannya itu mencetuskan polemik dalam kancah bola sepak negara apabila pelbagai isu timbul antara Kelantan dan Johor Darul Takzim sehingga berlaku 'perang mulut' kedua-dua pasukan dalam media tempatan.

Mohd Badri, yang lebih mesra disapa Piya, berkata beliau yakin Kelantan mampu bangkit selepas dikecewakan T-Team 0-1 pada perlawanan Sabtu lepas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu.

"Kami akan bangkit dalam perlawanan itu selain memperbaiki segala kelemahan yang ada selepas dua perlawanan, terutama ketika menentang T-Team Sabtu lalu. "Kami mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri, dan saya yakin rekod bersih tanpa kalah Kelantan di Kota Baharu dapat dikekalkan dan mampu menewaskan Johor malam esok," katanya.

Juara treble 2012, Kelantan bakal bertemu seteru terbaharu mereka pada musim ini, Johor Darul Takzim pada perlawanan pertama dalam Liga Super malam esok di Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini. -BERNAMA

Artikel Lain