suria

Tunku Imran Ajak MTA Sertai TM Untuk Kebaikan Taekwando Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Presiden Taekwando Malaysia (TM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar menggesa Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA)bergabung dengan TM demi kemajuan sukan itu di Malaysia.

Beliau berkata TM pernah membuat pelawaan serupa, tetapi hanya segelintir anggotanya bersetuju berbuat demikian.

TM ditubuhkan tiga tahun lepas untuk menyelamatkan sukan taekwondo di negara ini setelah Pejabat Suruhanjaya Sukan membatalkan pendaftaran MTA sebagai sebuah badan sukan kerana didakwa menyekat kemajuan sukan itu.

"Keengganan mereka (MTA) menyertai TM bererti mereka mengetepikan peluang atlet (taekwondo) untuk bertanding di peringkat antarabangsa kerana Persekutuan Taekwando Dunia (WTF) hanya mengiktiraf kami sebagai badan pengelola taekwondo yang sah di Malaysia.

"Saya rasa mereka patut memikirkan masa depan atlet, bukan masa depan mereka," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Wisma Bernama, di sini, baru-baru ini.

Tunku Imran, yang juga presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), berkata TM mempunyai 260,000 anggota dari seluruh negara dan menyasarkan jumlah ini meningkat sekali ganda menjelang 2016.

"Saya tidak fikir ada persatuan lain di Malaysia yang mempunyai anggota seramai itu dan saya harap kami dapat mencapai sasaran tersebut," katanya.

Mengenai usaha mencungkil bakat baharu dalam sukan ini di peringkat akar umbi, Tunku Imran berkata pihaknya memperhebat pelaksanaan pelbagai program, termasuk menganjurkan kejohanan taekwondo bagi kumpulan bawah umur tahun lepas.

Katanya kejohanan itu diadakan dengan kerjasama Sports Excel dan dibahagi kepada dua kumpulan iaitu 10-13 tahun dan 14-17 tahun. "Melalui kejohanan ini, kami mengenal pasti pasti atlet berpotensi untuk diserap ke dalam program junior kami dan selain itu, kami juga bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mencari bakat baharu dalam sukan ini," katanya.

Beliau juga meletakkan sasaran bagi skuad taekwondo kebangsaan memenangi satu pingat emas pada Olimpik 2020.

Tiga bandar raya mengemukakan bidaan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menganjurkan temasya sukan musim panas terbesar di dunia iaitu Istanbul di Turki; Tokyo (Jepun) dan Madrid (Sepanyol).

"Sekiranya atlet kita memenangi pingat itu sebelum Olimpik 2020, ia memang baik untuk mereka (dan negara)," katanya.

Untuk rekod, atlet taekwondo kebangsaan menyertai lima sukan Olimpik iaitu di Seoul (1988), Barcelona (1992), Sydney (2000), Athens (2004) dan Beijing (2008), tetapi tidak memenangi sebarang pingat emas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Benitez Resah Aksi Pemain

Artikel Lain