suria

Pengurus Pasukan Bola Sepak Perlu Bertindak Sebagai CEO - Shabery

GEORGE TOWN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu setiap pengurus pasukan bola sepak di negara ini lebih cekap menguruskan setiap pemain serta bijak menyusun strategi untuk penjenamaan semula pasukan masing-masing.

Beliau berkata dalam arena pengurusan bola sepak moden hari ini setiap pengurus pasukan perlu bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang merancang strategi pasukan yang diterajuinya.

"Dalam pengurusan bola sepak moden, kita tidak boleh lagi menggunakan pengurusan cara lama, kalau dahulu mungkin pengurus hanya membuat pengurusan dari aspek tiket perjalanan dan keperluan logistik semata, tetapi hari ini persepsi begitu perlu berubah.

"Pengurus pasukan mesti bertindak sebagai seorang CEO, melihat setiap pemain adalah aset yang besar dan mempunyai matlamat bagaimana mambantu meningkatkan prestasi pasukan dari segi penjenamaan semula," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu perpindahan Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Negara 2012 Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ke Johor Darul Takzim.

Bagi perpindahan itu, Mat Yo membayar wang penebusan kontraknya dua kali menerusi draf bank sebanyak RM250,000 dan RM49,000 masing-masing pada 4 dan 5 Januari lepas yang didapati menepati Perkara 8.5, iaitu apabila pemain menamatkan kontrak sebelah pihak, ahli gabungan FAM berkenaan, berhak mendapat ganti rugi kesemua baki kontraknya.

Ahmad Shabery berkata isu perpindahan Mat Yo dari Kelantan ke Johor Darul Takzim merupakan satu pengajaran kepada mana-mana pasukan atau persatuan bola sepak supaya setiap urusan pengambilan pemain mestilah mempunyai kontrak yang jelas.

"Mungkin ada pihak yang ghairah untuk dapatkan pemain tertentu dan akan merosakkan pasaran, tetapi saya percaya kemudiannya selepas itu penyesuaian akan dibuat untuk menilai kembali nilai seseorang pemain itu.

"Dalam dunia sukan sebagai industri, memang terdapat faktor pasaran iaitu penawaran dan permintaan melibatkan nilai yang tinggi, ia sesuatu yang positif dan menjadi pemain bola sepak sudah menjadi satu kerjaya profesional, tidak seperti dahulu," katanya.

Beliau berkata dengan adanya nilai yang tinggi bagi seseorang pemain bola sepak, ia akan menjadi motivasi kepada ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka terlibat dalam bidang sukan.

Terdahulu, Ahmad Shabery merasmikan bangunan pentadbiran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang yang bernilai lebih RM5 juta yang siap dibina pada 26 Oktober 2010.

Bangunan di atas tanah seluas 0.12 hektar di Jalan Batu Uban itu antara lain menempatkan kemudahan kawasan meletak kenderaan, bilik gerakan strategik, bilik gerakan dan bilik mesyuarat. -BERNAMA

Artikel Lain