suria

Rexy Bawa Cabaran Filipina Ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih beregu wanita negara, Rexy Mainaky kembali ke Malaysia dengan membawa cabaran beregu skuad Filipina selepas hampir tujuh bulan meninggalkan skuad negara ini.

Bekas juara dunia beregu dari Indonesia itu mengambil keputusan meletak jawatan tahun lalu dan menerima tawaran sebagai Pengarah Pembangunan Badminton dan jurulatih di Filipina selepas tujuh tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kehadirannya ke Malaysia kali ini bagi menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia Maybank yang akan bermula pada 15 Januari ini.

"Gembira dapat kembali ke Malaysia selepas hampir tujuh bulan berpindah. Tugas baru saya di sana berjalan lancar walaupun pembangunan badminton Filipina tidak seperti di Malaysia.

"Masih banyak lagi yang perlu saya laksanakan, namun dalam pada masa itu saya teruja kerana bilangan pemain semakin bertambah dari 12 ke 50 orang pemain. Ia sesuatu yang positif.

"Dan paling menggembirakan saya, beberapa pemain sudah menunjukan prestasi yang baik dari segi kedudukan ranking dunia. Sebelum ini mereka berada di tangga ke-900 lebih dan kini sudah berada dalam lingkungan 200 ke bawah," jelasnya ketika ditemui mStar Online, Rabu.

Rexy berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi pada kejohanan ini.

"Saya berharap mereka boleh melepasi peringkat pusingan awal. Jika berjaya, di situ mereka sudah boleh mendapat mata.

"Saya hanya menghantar satu kategori memandang hanya dua orang itu sahaja yang menunjukkan prestasi memuaskan setakat ini.

"Pun begitu, bagi tempoh jangka masa panjang, saya tetap meletakkan sasaran untuk meraih gangsa pasa Sukan Sea di Myanmar hujung tahun ini.

"Saya realistik dalam meletakkan sasaran ini kerana sedar dengan saingan dari Malaysia, Indonesia mahupun Thailand," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain