suria

Kejayaan Julang Piala Sultan Ahmad Shah Pembakar Semangat ATM Hadapi Liga Malaysia

KUALA LUMPUR: Kejayaan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah menjadi tonik terbaik buat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini, kata Setiausaha Persatuan Bola Sepak ATM, Left Kolonel Abdul Rani Abdul Rahim.

Beliau berkata pencapaian itu membakar semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang dalam tiga lagi saingan Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Kejayaan ini amat membanggakan dan menjadikannya sebagai satu inisiatif bagi pasukan (ATM) dalam meneruskan kecemerlangan ke peringkat seterusnya," katanya kepada Bernama selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan, di sini Selasa.

ATM muncul juara Piala Sumbangsih 2013 (Piala Sultan Ahmad Shah) selepas menumpaskan juara trebel musim lepas, Kelantan 4-3 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan 90 minit.

Terdahulu, dalam ucapannya, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa bangga di atas kejayaan pasukan ATM meraih Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kalinya.

Beliau yang gembira dengan kejayaan tersebut mahu skuad 'The Gladiators' yang dibimbing jurualtih B. Sathianathan meneruskan aksi cemerlang pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Pada majlis tersebut, ketua pasukan ATM Hairuddin Omar menyerahkan Piala Sultan Ahmad Shah kepada Ahmad Zahid. - BERNAMA

Artikel Lain