suria

Isu Tebus Kontrak Pemain Boleh Buka Mata Semua Pihak - Rizal

BIARPUN musim baru Liga Malaysia bakal bermula pada Selasa ini, isu kontrak perpindahan pemain dilihat masih belum ada noktahnya.

Isu tebus kontrak penyerang Kelantan ke Johor, Norsharul Idlan Talaha atau Mat Yo belum ada jawapan mutlak.

Malah bekas majikan pemain Paling Bernilai ini, Tan Sri Annuar Musa merangkap Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan sudah ada kata putus mengenai perkara itu.

Jelas sekali isu ini agak rumit untuk diselesaikan memandangkan kedua-dua pihak mempunyai pandangan yang berbeza-beza.

Ia juga dianggap sebagai drama awal musim yang tidak pasti bila akan selesai.

Penganalisis sukan negara, Rizal Hashim berkata, isu ini sebenarnya boleh membuka mata semua pihak.

"Sistem perpindahan pemain di negara kita masih belum lengkap.

"Walaupun Liga Malaysia sudah lama berlangsung, tetapi strukturnya masih belum kuat.

"Berbanding di Eropah, tebus kontrak ini berjalan lancar kerana di dalam kontrak mereka sudah dijelaskan nilai setiap pemain "jelasnya kepada mstar Online, Isnin.

Tambah Rizal, kelab baru pemain perlu membayar sejumlah harga tertentu berdasarkan gaji, elaun dan lain- lain kepada kelab lama.

"Dengan urusan yang jelas dan lengkap, tebus kontrak itu juga atau di Eropah dipanggil nilai perpindahan dianggap punca pendapatan kepada sesebuah pasukan itu.

"Kita tidak boleh menyerah urusan ini kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semata-mata, sebaliknya setiap kelab atau negeri wajar melengkapkan surat perpindahan itu.

"Kontrak pemain memang ada, tetapi yuran perpindahan yang tidak ada," katanya.

Sebelum ini laporan media mengatakan Mat Yo telah membayar tebus kontrak kepada Kelantan sebanyak RM250, 000, bukannya RM400,000 seperti yang dituntut Kafa.

Dan pengesahan itu telah dibuat oleh Presiden Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berdasarkan Jawatankuasa Status Pemain FAM (artikel 39.2) baru-baru ini, jumlah maksimum yang ditetapkan kepada mana-mana pemain yang berpindah ke pasukan baru ialah RM250,000.

Artikel Lain