suria

Terengganu Enggan Beri Laluan Mudah Kepada Felda United

KUALA TERENGGANU: Skuad bola sepak Terengganu melaungkan amaran tidak akan berlembut dan akan merobek benteng pertahanan Felda United dalam pertemuan awal Liga Super Selasa ini bagi menjamin kedudukan selesa pada awal Liga.

Skuad Penyu akan beraksi di hadapan penyokong sendiri dalam melayan kehadiran jaguh Felda di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pengurus Terengganu Marzuki Sulong berkata untuk musim ini, Terengganu memperkemas jentera barisan serangan yang mantap diketuai bekas penyerang Negeri Sembilan Jean-Emmanuel Effa Owona.

"Kita akan merobek gawang lawan dan menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh bagi memastikan kita mendapat tiga mata penuh dalam perlawanan awal itu. "Dengan kemenangan itu, ia ibarat menaikkan moral pemain untuk beraksi pada saingan seterusnya," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata prestasi dan disiplin pasukan Terengganu di bawah kendalian jurulatih E.Elavarasan telah meningkat dan dilihat berada di landasan yang betul setelah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menjelang pra-musim baru ini bagi memperkuat jentera baru Terengganu.

Katanya rangkaian jentera serangan Terengganu yang diketui Effa Owona dengan dibantu penyerang tempatan Abdul Manaf Mamat dan Ashari Shamsudin menyaksikan satu persefahaman yang baik di atas padang.

Malah, jelasnya, pemain-pemain Terengganu juga disuntik dengan motivasi oleh pakar-pakar motivasi daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di sini bagi tujuan meningkatkan semangat. -BERNAMA

Artikel Lain