suria

Mohd Fauzan Rangkul Kemenangan Berganda Basikal GP Kebangsaan Di Melaka

MELAKA: Pelumba berpengalaman negara, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi melengkapi kemenangan berganda setelah muncul juara bagi ujian masa perseorangan lelaki elit pada Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan sejauh 41.9 kilometer di Bukit Katil, di sini Ahad.

Mohd Fauzan, 26, yang menyarung jersi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 54 minit 48.612 saat mengatasi pemenang kedua Mohd Saufi Mohd Senan dari pasukan TSG yang ketinggalan 2 minit 54.988s manakala pelumba ATM, Mohd Nor Rizuan Zainal di tangga ketiga.

Pelumba yang berasal dari Johor itu turut memenangi juara keseluruhan ujian masa perseorangan setelah memungut 90 mata keseluruhan mempamerkan prestasi cemerlang dengan memenangi tiga daripada lima sirkit yang berlangsung.

Rakan sepasukannya, Nik Mohd Azwan Zulkifle pula muncul naib johan memungut 45 mata dan Mohd Nor Umardi Rosdi dari TSG di tempat ketiga dengan 43 mata.

Pada Sabtu, Mohd Fauzan turut muncul juara bagi acara lepas beramai-ramai lelaki elit sejauh 228 kilometer di venue yang sama.

Bagi acara ujian masa perseorangan wanita, Nurul Syuhada Zainal dari Terengganu muncul juara keseluruhan dengan 60 mata mengatasi pelumba Selangor, Mariana Mohd yang memungut 55 mata dan Nor Azian Alias di tempat ketiga dengan 45 mata.

Sementara itu, Mariana memenangi perlumbaan ujian masa sejauh 26.2 kilometer dengan catatan masa 40 minit 10.073s mengatasi Nurul Syuhada yang ketinggalan 2 minit 43 saat manakala pemenang bagi acara lepas beramai-ramai wanita semalam, Noor Azian dari Johor mendapat tempat ketiga ketinggalan 2 minit 44 saat.

Kejohanan GP Kebangsaan di Melaka ialah sirkit kelima sebagai penutup tirai setelah empat GP sebelumnya di Kedah, Kelantan, Sarawak dan Perak. - BERNAMA

Artikel Lain