suria

Persatuan Snuker Dan Billiard Diminta Jadi Ahli Gabungan MSBF

KUALA LUMPUR: Persatuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF) yang dikendalikan sementara Jawatankuasa Ad-Hoc ketika ini, menyeru semua badan sukan snuker dan billiard negeri yang masih belum menjadi anggota gabungan MSBF untuk berbuat demikian.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim berkata kemasukan lebih banyak anggota dari peringkat negeri akan membantu menguatkan pentadbiran jawatankuasa itu yang kini hanya dianggotai tiga badan snuker peringkat negeri.

Beliau berkata bagi memastikan lebih banyak perwakilan daripada badan sukan di peringkat negeri menyertai MSBF, jawatankuasa berkenaan turut mendapatkan bantuan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk mempercepatkan permohonan pendaftaran baharu itu.

"Jawatankuasa Ad-Hoc juga menjemput kelab-kelab sukan dan rekreasi yang mempunyai disiplin snuker dan billiard sebagai salah satu daripada aktiviti kelab untuk turut serta memohon menjadi Anggota Bersekutu MSBF," katanya.

Pendaftaran MSBF digantung pada 19 Julai lepas oleh PPS atas alasan badan sukan itu bukan lagi entiti yang wajar untuk didaftarkan bagi mewakili sukan itu di negara ini.

Ekoran penggantungan itu, MSBF telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan sementara menunggu keputusan menteri, Jawatankuasa Ad-Hoc dilantik bagi menguruskan hal ehwal badan induk tersebut.

Jawatankuasa itu dibarisi sembilan anggota dan dipengerusikan Mohamad Noor yang merupakan Timbalan Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).

Kemelut MSBF bermula sejak awal tahun lepas apabila presiden pada ketika itu Raymond Lim melepaskan jawatan secara tiba-tiba.

Pesuruhjaya Sukan Datuk Mohd Yasin Mohd Salleh sebelum ini, dilaporkan sebagai berkata jawatankuasa tersebut diberi tempoh setahun bermula 15 Oktober lepas untuk meneruskan fungsi dan memperbaiki sebarang masalah yang terdapat dalam pentadbiran MSBF. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Sunderland Buru Khidmat Cahill

Artikel Berikut

Artikel Lain