suria

Skuad Silat Negara Bakal Terima Jurulatih Wanita

KUALA LUMPUR: Skuad silat negara bakal mencatat sejarah apabila buat pertama kali menerima bimbingan jurulatih wanita bagi persiapan menghadapi temasya Sukan SEA di Myanmar tahun hadapan.

Penyelaras Sukan Silat Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Osman Nok berkata pada dasarnya, Majlis Sukan Negara (MSN) telah bersetuju untuk melantik jurulatih wanita bagi membimbing pesilat negara, namun belum memutuskan individu yang akan memikul tanggungjawab itu.

"Kita telah mengenal pasti beberapa calon berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai jurulatih wanita, namun ia perlu diperhalusi melalui perbincangan yang bakal diadakan dengan pihak MSN awal tahun nanti," katanya.

Bagaimanapun, Osman berkata beliau tidak boleh mengumumkan nama-nama calon sebelum berbincang dengan MSN.

"Kita akan mengambil jurulatih tempatan dan tidak bercadang mengguna khidmat jurulatih luar negara kerana bakat tempatan dalam sukan silat tidak kurang hebatnya, malah ada rakyat Malaysia kini menjadi jurulatih skuad silat beberapa negara jiran," jelasnya.

Skuad silat negara kini dibimbing dua jurulatih tempatan iaitu Nasri Nasir dan Mazlan Shaari.

Sementara itu, Osman berkata program persiapan skuad silat bagi menghadapi Sukan SEA Myanmar akan bermula 2 Januari ini melibatkan 16 pesilat.

"Buat masa terdekat, kita tidak bercadang mengambil pesilat baharu, sebaliknya mengekalkan pesilat sedia ada. Mereka akan mengikuti beberapa kejohanan dalam dan luar negara sebelum beraksi di Myanmar," katanya.

Beliau berkata antara kejohanan besar yang bakal disertai pesilat negara sepanjang 2013 ialah Kejohanan Silat Tiga Penjuru Malaysia, Singapura dan Indonesia di Pekanbaru, Indonesia pada Mac.

Ini diikuti Kejohanan Silat Terbuka Antarabangsa di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada April, Kejohanan Silat Terbuka Belgium (Mei) dan Kejohanan Sukan Perpaduan Islam di Pekanbaru (Jun). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Kejuaraan

Artikel Lain