suria

Pertahan Kejuaraan Sukan SEA, Fokus Utama Skuad Harimau Muda A Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee meletakkan fokus untuk mempertahankan kejuaraan Sukan SEA tahun depan, yang dimenangi dua tahun berturut-turut sebelum ini.

"Fokus utama saya ialah untuk mempertahan pingat emas Sukan SEA pada 2013 yang akan dihos Myanmar. Untuk mempertahan satu kejuaraan sudah berat, apa lagi untuk mempertahan dua kejuaraan.

"Setiap orang mahu mengalahkan kami. Tapi kami telah membuat strategi sejak tahun lalu apabila kami menang di Jakarta, bagi mempertahan kejuaraan," katanya dipetik sebagai berkata pada laman web Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) www.atball.org.

Malaysia di bawah Datuk K. Rajagobal muncul juara dengan mengalahkan Thailand pada Sukan SEA 2009 di Laos dan diikuti pada 2011 di bawah kendalian Kim Swee dengan mengalahkan tuan rumah Indonesia.

Kim Swee berkata pasukannya telah menunjukkan daya saing selepas menang pingat emas Sukan SEA selain memenangani Piala Thanh Nien awal tahun ini.

"Sudah tentu kami tidak boleh berehat kerana pasukan lain turut membuat kemajuan. Sebab itu penting bagi kami menyertai kejohanan serantau bagi mengukur tahap kami dan menilai kualiti pasukan lawan.

"Tempoh akhir tiga bulan sebelum kejohanan di Myanmar adalah penting kerana pada ketika itu, saya akan memiliki pemain utama dalam pasukan," tambahnya.

Harimau Muda A tidak akan bermain dalam Liga Singapura tahun depan bagi membuat persiapan dalam usaha mempertahan kejuraan Sukan SEA.

Tempat mereka akan digantikan Harimau Muda B kendalian Razip Ismail, bekas pemain Kuala Lumpur.

Sebaliknya mereka akan mengadakan latihan selama lima bulan di Slovakia bermula 15 Mac hingga Ogos dengan dijadual mengadakan 15 perlawanan persahabatan.

Sebelum itu mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan di Gold Coast, Australia dari 23 Januari hingga 6 Februari sebelum memulakan latihan di Slovakia.

Selepas kembali dari Slovakia, Harimau Muda A dijangka turut menyertai Pestabola Merdeka dan Piala Thanh Nien. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Kejuaraan

Artikel Lain