suria

Tengku Abdullah Yakin Prestasi Skuad Hoki Kebangsaan Dapat Dipertingkat

KUANTAN: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yakin skuad hoki kebangsaan mampu mempertingkat prestasi mereka.

Baginda bertitah keyakinan itu berdasarkan beberapa perlawanan pada kejohanan Hoki Trofi Asia 2012 di Doha, Qatar yang berlangsung ketika ini.

Tengku Abdullah, yang berpuas hati dengan prestasi skuad negara, bagaimanapun tidak meletak sebarang sasaran pada kejohanan tersebut.

"Saya tidak pasti mereka mampu atau tidak untuk ke perlawanan akhir tapi berdasarkan perlawanan sebelum ini, nampak permainan mereka amat memberangsangkan.

"Malah saya berpuas hati dengan jaringan yang dibuat oleh pemain kerana pada kejohanan sebelum ini, kita amat ketandusan gol," titah baginda ketika ditemui pada Selasa.

Akhbar semalam melaporkan peluang skuad hoki kebangsaan melangkah ke saingan akhir masih di landasan terbaik, terutama selepas mengikat Pakistan 3-3 Sabtu lepas.

Tengku Abdullah bertitah perlawanan dengan Pakistan merupakan satu petanda baik bagi pasukan negara selepas mendapat bimbingan jurulatih Paul Revington.

"Bagaimanapun, pada perlawanan selepas ini iaitu bertemu China dan India, saya yakin mereka akan buat yang terbaik kerana kedua-dua pasukan tersebut akan beri tentangan sengit," titah baginda.

Ditanya sama ada berlaku rombakan pemain selepas ini, Tengku Abdullah bertitah semua itu terpulang kepada jurulatih kerana pasukan negara mempunyai jumlah pemain yang ramai iaitu 30 orang.

Skuad kebangsaan masih mempunyai baki dua perlawanan iaitu menentang China dan India sebelum mengetahui sama ada mampu melangkah ke peringkat akhir atau sebaliknya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain