suria

Syed Mohd Husaini Belum Puas Lahirkan Pelumba Basikal Berkualiti

KUALA TERENGGANU: Beberapa kejayaan yang kini meniti setapak demi setapak ternyata belum mampu memuaskan hati jurulatih Basikal Terengganu Syed Mohd Husaini Syed Mazlan yang komited melahirkan pelumba basikal lebuh raya hingga ke persada antarabangsa.

Impian tersebut diluahkan selepas anak kelahiran Kemaman itu sekali lagi berjaya merangkul gelaran jurulatih terbaik pada Anugerah Sukan Terengganu dalam pemilihan dua tahun sekali bagi meneruskan khidmat cemerlang di arena sukan berbasikal sekaligus memartabat sukan berkenaan ke tahap tertinggi.

Jurulatih berusia 34 tahun ini berkata beliau akan mencuba sebaik mungkin untuk mempertingkat kejayaan yang dilakar sepanjang 13 tahun melatih pelumba Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT).

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk merangkul lebih banyak kejayaan selepas ini supaya lebih ramai atlet berbasikal dapat dilahirkan serta berjaya seterusnya disegani pihak lawan," katanya kepada Bernama, Isnin.

Syed Mohd Husaini juga akan terus mencari bakat baharu bagi melahirkan lebih ramai pelapis dalam sukan berbasikal di negeri ini.

"Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri, pihak Majlis Sukan Negeri, PLBT dan pelumba yang banyak memberi sokongan serta banyak menyokong karier sepanjang saya membimbing pasukan Terengganu.

"Ini merupakan anugerah kali kedua yang saya terima daripada kerajaan negeri selepas tahun 2008.

"Diharap ini dapat menyuntik semangat saya untuk menempa lebih banyak kejayaan selepas ini," katanya.

Syed Muhammad Husaini membawa pulang wang tunai RM3,000 serta sijil, pingat selain peralatan sukan yang disampaikan Pengerusi Belia Dan Sukan Negeri Rozi Mamat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain