suria

Temasya AUG2012: Jangan Terlalu Bergantung Kepada Atlet Elit Kebangsaan

VIENTIANE: Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2012 yang melabuhkan tirainya di ibu negara Laos semalam, menyaksikan hampir kesemua acara yang disasar kontinjen Malaysia menyumbangkan pingat emas sekali gus menempatkan negara sebagai juara keseluruhan kejohanan itu.

Renang, terjun dan olahraga yang menjadi antara sandaran utama negara tidak menghampakan apabila menjadi penyumbang terbanyak pingat emas buat kontinjen universiti Malaysia.

Mereka mempamerkan prestasi cemerlang untuk membantu kontinjen Malaysia yang dibarisi 306 atlet untuk mengungguli carta pungutan pingat pada temasya tersebut dengan membawa pulang 60 pingat emas, 47 perak dan 72 gangsa.

Kejayaan itu sekali gus menobatkan Malaysia buat pertama kalinya sebagai juara keseluruhan dan lebih manis kejayaan itu diraih di luar negara.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara keseluruhan ialah ketika menjadi tuan rumah pada edisi ke-14, empat tahun lepas. Pada temasya kali ini, skuad renang paling menyerlah apabila menyumbangkan pingat terbanyak buat kontinjen Malaysia iaitu 21 emas.

Acara terjun juga tidak menghampakan apabila menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan dalam acara tersebut.

Atlet olahraga turut mencuri tumpuan apabila berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan meraih 11 emas, 10 perak dan enam gangsa manakala karate-do dan memanah, masing-masing meraih tujuh dan enam emas.

Namun begitu, kejayaan kontinjen universiti negara pada temasya dwitahunan itu dilihat masih bergantung kepada sumbangan atlet elit kebangsaan yang bertaraf dunia serta dalam sukan-sukan tertentu.

Membariskan 30 peratus atlet elit kebangsaan dalam kontinjen Malaysia, kesemua mereka tidak menghampakan apabila menyumbangkan pingat emas kepada negara. Atlet Olimpian seperti Khoo Cai Lin, Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee yang menyumbangkan pingat emas merupakan atlet berprestasi tinggi bukan sahaja di peringkat antarabangsa tetapi telah menempah nama di peringkat Asia dan dunia.

Justeru, bagi memastikan kontinjen universiti Malaysia terus unggul di peringkat antarabangsa, pembangunan sukan untuk atlet berkenaan perlu dipertingkat agar kejayaan itu tidak hanya bergantung kepada atlet elit kebangsaan dan dalam sukan tertentu, pada temasya akan datang.

Dasar yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan menubuhkan pusat kecemerlangan sukan di setiap universiti perlu lebih menyeluruh dalam melahirkan atlet kebangsaan bertaraf antarabangsa di peringkat universiti.

Acara sukan lain seperti ping pong, petanque, pencak silat, judo, tenis dan Muay Thai juga boleh menyerlah jika atlet-atlet itu digilap kerana pada temasya kali ini, mereka mampu menyumbangkan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara masing-masing.

Ketua kontinjen Malaysia, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata beliau bangga dengan pencapaian atlet yang tidak diletakkan harapan apabila menyumbangkan sekurang-kurangnya sebutir pingat gangsa dalam acara masing-masing.

"Kita hanya menyasarkan kutipan pingat bagi acara akuatik, memanah, olahraga dan karate-do. Memang kita tidak letakkan harapan tinggi dalam sukan lain, namun kebanyakan atlet kita buat kejutan seperti dalam pencak silat, wushu, judo dan tenis.

"Malah, ada di antara mereka yang pertama kali mewakili negara di peringkat Asia Tenggara dan mereka menyerlah," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain