suria

Nicol Rangkul Gelaran Terbuka Dunia Kali Ketujuh

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol David, merangkul gelaran Terbuka Dunia yang ketujuh selepas menumpaskan Laura Massaro dari England dalam perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia pada Jumaat.

Menurut laman sesawang rasmi pertandingan itu, www.worldopensquash.com, pemain berusia 29 tahun dari Pulau Pinang itu menyingkirkan pemain pilihan ketiga itu dalam masa kurang setengah jam.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Camana Bay di Kepulauan Cayman pada 9 malam waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia), Nicol menumpaskan Laura dalam straight set 11-6, 11-8 dan 11-6.

Dengan kemenangan itu, Nicol mencipta sejarah tersendiri dan kejohanan skuasy wanita untuk menjulang tujuh gelaran dunia.

Enam gelaran Terbuka Dunia sebelum ini yang dimenangi ratu skuasy negara bermula di Hong Kong pada 2005, diikuti Ireland Utara (2006), England (2008), Mesir (2010) dan dua kali di Belanda (2009 dan 2011). - BERNAMA

Artikel Lain