suria

Mungkin Faktor Usia, Komitmen Rumah Tangga Punca Chong Wei Merosot - Misbun

KUALA LUMPUR: Seperti peminat badminton yang lain, Datuk Misbun Sidek turut gelisah melihat prestasi semasa Datuk Lee Chong Wei.

Beliau yang pernah melatih pemain nombor satu negara ini berpendapat kemungkinan faktor usia atau komitmen rumah tangga telah menjejaskan sedikit prestasinya.

"Apabila Chong Wei sudah berumah tangga, kita tidak tahu bagaimana komitmennya. Badminton adalah sukan yang memerlukan kecerdasan fizikal dan kita tidak tahu sejauh mana tahap kecerdasan Chong Wei ketika ini.

"Sebagai ahli sukan, Chong Wei sendiri harus tahu di mana kedudukannya untuk menstabilkan diri di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kejohanan Badminton Future X-Plode Kementerian Belia dan Sukan (KBS)-Nusa Mahsuri peringkat kebangsaan 2012 di sini, Jumaat.

Kejohanan yang bermula semalam sehingga Ahad ini dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Peng Shieu. Ia merupakan kesinambungan Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri peringkat zon dan negeri yang diadakan sejak 2009.

Namun Misbun yakin Chong Wei dapat mengatasi kelemahannya untuk kembali kepada prestasi terbaiknya.

Chong Wei, 30, mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain perseorangan negara, Wong Mew Choo pada 9 November lepas.

Beliau tumpas mengejut kepada pemain nombor sembilan dunia Du Pengyu dari China pada aksi pembukaan Siri Super Masters Akhir di Shenzhen, China baru-baru ini.

Selepas itu, beliau menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan pada kaki kanan. Mengenai kejohanan Future X-Plode, Misbun yang juga ketua jurulatih Kelab Nusa Mahsuri berkata kejohanan yang diadakan di Kompleks Sukan, Institut Penilaian Negara, Bangi, Selangor menyaksikan penyertaan 400 peserta berumur 13 tahun ke bawah.

Ia mempertandingkan lapan kategori iaitu Bawah 11 Tahun Individu Lelaki dan Perempuan, Bawah 11 Tahun Beregu Lelaki dan Perempuan, Bawah 13 Tahun Individu Lelaki dan Perempuan serta Bawah 13 Tahun Beregu Lelaki dan Perempuan.

"Saya berharap menerusi kejohanan ini, ia dapat melahirkan seorang lagi Lee Chong Wei pada masa akan datang," kata Misbun. -BERNAMA

Artikel Lain