suria

110 Jurulatih Tempatan Peroleh Manfaat Klinik Bola Sepak Premier Skills

KUALA LUMPUR: Seramai 110 jurulatih dan pengadil bola sepak tempatan mendapat manfaat menerusi klinik kejurulatihan 'Premier Skills' yang dikendalikan jurulatih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPL, Richard Scudamore berkata program sedemikian telah diadakan di 20 buah negara dan berjaya membangun lebih 1,100 jurulatih baharu di bawa fasa pertama dari 2007 hingga 2010.

"Jurulatih EPL ini telah melakukan tugas terbaik mereka dalam membangunkan kemahiran jurulatih berbakat di mana hampir 220,000 belia di seluruh dunia mendapt manfaat," katanya kepada pemberita pada majlis penutup program tersebut di Sekolah Antarabangsa Garden di sini, Jumaat.

Program kejurulatihan selama empat hari ini dianjur bersama oleh British Council dan EPL dengan penyertaan 16 individu yang bercita-cita menjadi jurulatih pereka web, pengurus perniagaan dan konsultan teknikal.

Pengurus Projek Kelab Reading, Paul Hughes dan Pengurus Pendidikan Kelab Portsmouth, Adam Lea terlibat sebagai pendidik latihan. CEO British Council, Martin Davison berkata tujuan mereka ialah untuk menghubungkan rakyat British dengan penduduk seluruh dunia menerusi bola sepak.

"Kami gembira dengan perkongsian bersama EPL yang menggabungkan bahasa Inggeris dan bola sepak dalam memberi pengetahuan lebih baik kepada jurulatih tempatan.

"Menerusi inisiatif ini, kami menjangka jurulatih muda akan terus melakukan kerja baik ini di kalangan masyarakat mereka sendiri," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain