suria

Rajagobal Tidak Harus Dipecat - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal tidak harus dipecat atas kekalahan skuad kebangsaan Harimau Malaya pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, Khamis lepas, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap jurulatih itu malah beliau perlu diberi peluang melakukan penambaikan dan pembaharuan dalam skuad bimbingannya dalam menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kita tidak harus lupa Rajagobal yang bertanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan negara dan menaikkan imej pemain sehingga dikenali ramai...tidak seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun beliau harus mencari jalan dalam meningkatkan lagi prestasi skuad kebangsaan," katanya kepada pemberita pada majlis perkahwinan anak perempuannya Nurkhalida dan pasangannya, Qaiyum Hasnul, kedua-dua berusia 25 tahun, di Stadium Juara Bukit Kiara, di sini, Sabtu.

Ahmad Shabery berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga bertanggungjawab untuk melihat pembangunan mutu sukan itu secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata FAM perlu memberi perhatian untuk meningkatkan status Liga Malaysia yang kini berada dalam kategori D berbanding kategori B oleh Liga Vietnam dan Indonesia dalam ranking Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dalam saingan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, Malaysia, selaku juara bertahan, dikecewakan oleh Thailand dengan agregat 1-3.

Thailand akan menentang Singapura pada perlawanan akhir timbal balik pada 19 dan 22 Disember ini.

Selepas gagal mempertahankan kejuaraan itu, Rajagobal berkata beliau mahu memenuhi kontraknya sehingga Disember 2013 bersama FAM dengan misi utama membantu skuad negara melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2015 di Australia.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 56 tahun itu menegaskan bahawa kedudukannya selepas ini diserahkan kepada FAM.

Pasukan negara akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2015 pada Februari depan dengan menentang Qatar sebelum berdepan dengan Bahrain dan Yemen dalam saingan Kumpulan D. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain