suria

Nurul Sarah Wanita Terpantas, Olahraga Sumbang Empat Pingat Emas

VIENTIANE: Atlet negara Nurul Sarah Abdul Kadir melakar kejayaan apabila menjadi wanita terpantas dalam acara olahraga Sukan Universiti Asean (AUG 2012) yang membuka tirai di Stadium Kompleks Sukan Nasional, di sini, Sabtu.

Nurul Sarah meraih pingat emas dalam acara 100m dengan catatan 12.14s, menewaskan pemenang pingat emas Sukan SEA, Palembang 2011, Unani Serafi dari Indonesia yang hanya meraih pingat gangsa dengan catatan 12.34s.

Pingat perak disandang oleh Pimpika Kannikom dari Thailand dengan perbezaan masa 0.01s di belakang Nurul Sarah.

"Saya sangat gembira dapat satu pingat emas buat kontinjen, namun bukan catatan terbaik. Sasaran saya selepas ini meraih emas di Sukan Universiti Dunia tahun depan.

"Kemenangan hari ini (Sabtu) ada kejutan buat saya sebab dapat kalahkan pemenang pingat emas Sukan SEA tahun lepas (Unani)," katanya kepada pemberita selepas acara itu.

Catatan terbaik Nurul Sarah adalah 11.83s ketika beraksi di Sukan SEA Laos 2009.

Selain Nurul Sarah, olahraga turut menyumbang tiga lagi pingat emas menerusi Jackie Wong Siew Cheer (baling tukul besi), Alet Mohamad Arif Zulhilmi (400m lelaki) dan Mohd Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang.

Wong meraih emas pertama bagi olahraga dengan jarak 52.84m, mengatasi atlet Thailand Patipan Sangsing dengan catatan 49.50m. Pingat gangsa disandang oleh Tan Nhanh Trinh dari Vietnam dengan catatan 46.97m.

"Saya gembira sasaran pingat emas tercapai namun masih tidak berpuas hati dengan catatan hari ini, kebelakangan ini saya mempunyai masalah dengan taktik balingan dan memang banyak lagi yang perlu diperbaiki," kata pemenang pingat gangsa temasya Sukan SEA, Indonesia tahun lepas.

Selain empat pingat emas, skuad olahraga negara turut menyumbang tiga pingat perak menerusi Mohd Noor Imran Hadi bagi acara 100m lelaki, S.Kannathasan (400m lelaki) dan Mohd Amar Fitri Zainol dalam acara lompat kijang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain