suria

Malaysia Ungguli Carta Pungutan Pingat Hari Kedua Sukan AUG 2012

VIENTIANE: Kontinjen Malaysia mengungguli kedudukan punggutan pingat pada hari kedua temasya Sukan Universiti Asean (AUG 2012)dengan sembilan pingat emas, empat perak dan 12 gangsa.

Sembilan pingat emas disumbangkan oleh skuad karate dan terjun pada temasya dwitahuan yang membuka tirainya semalam. Semalam, karate menyumbang tiga pingat emas manakala terjun meraih satu pingat emas.

Pada hari ini, skuad karate dan terjun sekali lagi konsisten dengan menambah lima pingat emas, sekali gus memintas Vietnam di kedudukan kedua dengan lapan pingat emas, 10 pingat perak dan enam pingat gangsa.

Manakala tuan rumah, Laos menghuni tangga ketiga carta pungutan pingat dengan lapan pingat emas, enam pingat perak dan sembilan gangsa.

Skuad karate menambah tiga pingat emas menerusi Mohd Hatta Mahamut, K.Teagarajan dan M.Mathivani, masing-masing dalam kategori kumite lelaki bawah 84kg, kumite lelaki 75kg dan kumite wanita 61kg yang di Gimnasium Chao Anouvong, di sini.

Selain tiga pingat emas, skuad karate turut meraih satu pingat perak dalam kategori kumite lelaki 67kg serta dua gangsa bagi kategori kumite lelaki lebih84kg dan kumite wanita 55kg.

Skuad terjun menambah dua pingat emas menerusi atlet Olimpik, Bryan Nickson Lomas dan Leong Mun Yee masing-masing dalam acara 1m papan anjal lelaki dan 10m platform wanita.

Sementara itu, regu sepak takraw lelaki gagal mempertahankan kejuaraan edisi 2010 dengan selepas tewas kepada regu Thailand 0-3 pada final.

Manakala regu wanita berkongsi pingat gangsa dengan regu Vietnam.

Skuad petanque meraih satu pingat perak bagi acara perseorangan lelaki serta dua gangsa dalam acara perseorangan wanita dan acara berpasukan campuran manakala taekwondo menyumbang satu pingat gangsa bagi kategori lelaki welter weight 80kg. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain