suria

Skuad Harimau Malaya Jangan Patah Semangat - Tengku Abdullah

PEKAN: Skuad Harimau Malaya tidak perlu patah semangat selepas gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir ekoran kekalahan di tangan Thailand pada separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF semalam.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah mereka sebaliknya perlu menilai semula kelemahan pasukan dan fokus kepada perlawanan-perlawanan yang akan datang.

"Skuad negara tidak perlu patah semangat dengan kekalahan kerana ia merupakan lumrah dalam mana-mana perlawanan sukan sekalipun. "Pada hakikatnya, Thailand mempunyai pasukan yang mantap. Kita juga bermain dengan baik namun tidak mampu menyekat kemaraan pasukan tuan rumah itu," titah baginda.

Tengku Abdullah ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, Jumaat.

Pada perlawanan separuh akhir kedua semalam, skuad kebangsaan gagal menundukkan pasukan lawan selepas Thailand menjaringkan dua gol melalui penyerang berbisa Teerasil Dangda dan Theerothan Bunmathan pada separuh masa kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok.

Ia sekaligus melayakkan Thailand mara ke perlawanan akhir berdepan Singapura melalui kemenangan secara agregat 3-1.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah meminta pihak penganjur mengkaji semula kelemahan yang ada pada perlawanan itu termasuklah mutu pengadilan dan keadaan padang yang rosak.

"Memang ramai yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan. Saya harapkan pihak penganjur dapat melihat kembali perkara ini," titah baginda.

Mengulas sama ada pasukan sekarang dikekalkan atau sebaliknya baginda bertitah, biarlah keadaan menjadi reda dahulu dan barulah pihak FAM akan buat keputusan.

"Buat masa ini saya tidak mahu buat kenyataan apa-apa. Kita analisis laporan yang akan dibuat dengan mengambil semua faktor termasuk jurulatih," titah Tengku Abdullah. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain