suria

Sazali Intai Tiga Gelaran Utama Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan negara, Sazali Samad bertekad untuk merangkul gelaran dalam tiga kejohahan utama tahun depan - Kejohanan Bina Badan Dunia (Mr Universe), Kejohanan Asia (Mr Asia) dan Sukan SEA di Myanmar.

Atlet berusia 45 tahun itu berkata Kejohanan Dunia 2013 akan diadakan di Hungary manakala Kejohanan Asia 2013 di Vietnam.

Beliau juga terus menjalani latihan bagi mengekalkan prestasinya walaupun baru pulang daripada menyertai Kejohanan Dunia 2012 di Bangkok, Thailand, minggu lepas.

"Saya tetap meneruskan latihan walaupun saya kini dalam proses menjalani fisioterapi," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Pada Kejohanan Dunia 2012 di Bangkok, Sazali mengharumkan nama negara di pentas dunia dengan mengekalkan gelaran Mr Universe dan kejayaan itu adalah kali kelapan baginya dalam kejohanan berkenaan.

Dalam pada itu, Sazali, yang turut memegang gelaran Mr Asia sebanyak lapan kali, berkata pada masa ini beliau belum memikirkan untuk bersara daripada arena sukan tersebut.

"Saya pernah berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadi jurulatih tetapi mereka tidak membenarkannya selagi saya masih aktif dalam arena sukan ini. "Ketiadaan atlet pelapis untuk diketengahkan di kejohanan antarabangsa juga menyebabkan saya masih aktif dalam sukan bina badan ini," katanya.

Sazali berkata beliau masih menunggu maklumat lanjut daripada Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) mengenai jadual pertandingan untuk tahun depan.

Untuk rekod, Sazali meraih gelaran Mr Universe pada 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011 dan 2012, manakala gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010 dan 2012. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain