suria

PABM Tetap Adakan AGM Sebelum 31 Disember - Zafarul

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan tetap mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sebelum 31 Disember ini seperti diarah Pesuruhjaya Sukan, kata presidennya Zafarul Akhbar Kassim.

Justeru itu, beliau berkata mesyuarat exco badan induk sukan angkat berat itu dijangka diadakan minggu depan bagi menetapkan tarikh AGM tersebut.

"Banyak ahli salah faham dengan kenyataan saya sebelum ini. Mesyuarat exco memang tidak diadakan minggu lepas kerana ada beberapa mesyuarat dan perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Sekarang semuanya sudah selesai dan mesyuarat exco dijangka diadakan minggu depan. Saya akan keluarkan surat kepada ahli untuk hadir mesyuarat exco ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Kemelut dalaman PABM semakin meruncing selepas pengurusan kanan serta anggota exco badan induk itu masih tertanya-tanya bilakah tarikh sebenar untuk mengadakan AGM. Dalam laporan akhbar hari ini, Penolong Setiausaha Kehormat PABM, Ahmad Janius Abdullah mempersoalkan mengenai mesyuarat exco hujung minggu lepas sepatutnya diadakan bagi membincangkan tarikh sesuai untuk mengadakan AGM seperti dimaklumkan Zafarul tetapi tidak berlangsung seperti ditetapkan.

Zafarul turut membidas pihak tertentu yang sengaja menimbulkan isu berkenaan sedangkan beliau sudah membuat kenyataan sebelum ini bahawa mesyuarat exco tidak akan diadakan minggu lepas.

Katanya, beliau sudah menjalankan tanggungjawab mengikut prosedur yang ditetapkan dan isu tersebut merupakan provokasi pihak tertentu untuk memberi tekanan terhadapnya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain