suria

Tembok Psikologi Rakyat Malaysia Dipecahkan Harimau Malaya - Shabery

SEPANG: Tembok psikologi rakyat Malaysia yang menganggap pasukan Thailand adalah paling kuat telah dipecahkan sebaik skuad 'Harimau Malaya' memperolehi satu gol dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata walaupun kebanyakan pemain tonggak Harimau Malaya tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu, namun skuad kebangsaan masih mampu menjaringkan gol yang pertama.

"Saya yakin dan percaya ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal mempunyai taktik yang tersendiri dalam membentuk formasi permainan yang strategik," kata Ahmad Shabery ketika ditemui pemberita selepas menghantar pasukan Harimau Malaya di Terminal Tambang Murah (LCCT) di sini Isnin.

Pemain skuad kebangsaan berlepas ke Bangkok, Thailand menaiki pesawat AK 9632 yang digelar 'Semangat Harimau Muda' selepas dicat khas dan diberi nafas baharu dengan logo Harimau Malaya.

Menurut Ahmad Shabery, langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan tambang murah itu adalah satu penghormatan yang diberi kepada pasukan Harimau Malaya apabila mereka berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir.

"Sekarang ini merupakan era baharu di mana kita sering mendengar pasukan bola sepak antarabangsa yang datang dengan pesawat sewa khas dan kini antara pasukan di Asia Tenggara, kita juga sudah mulakan penerbangan sedemikian untuk pemain-pemain kita.

"Ini adalah salah satu motivasi untuk mereka sekiranya mereka terus mempamerkan prestasi yang baik, semua pihak akan terus memberikan sokongan dan mereka juga akan terus mendapat lebih daripada apa yang diterima sekarang," katanya.

Sementara itu, Rajagobal amat berterima kasih kepada pihak AirAsia di atas sumbangan dan penghargaan menyediakan pesawat khas dan menganggap ia sebagai satu dorongan untuk bermain dengan lebih bersemangat.

Mengulas mengenai formasi yang akan digunakan pada perlawanan timbal balik di Thailand kelak, Rajagobal membuat keputusan untuk melihat keadaan pemainnya terlebih dahulu sebelum memilih siapa yang akan beraksi dalam kesebelasan utama.

"Kita harus faham pada perlawanan permulaan semalam, kita tiada lima orang pemain tonggak dan dengan keputusan yang diperoleh, saya amat bangga dengan pemain dan komitmen mereka jika dibandingkan dengan pasukan Thailand yang menggunakan semua pemain utama mereka," katanya.

Bagi penyerang Harimau Malaya, Safee Sali amat kecewa apabila tandukannya ditepis keluar penjaga gol Thailand semalam dan beliau yakin masih ada peluang untuk Malaysia mara ke perlawanan akhir dengan corak permainan serta kehadiran semula pemain tonggak di perlawanan timbal balik kelak.

"Saya kecewa apabila terlepas satu peluang yang agak baik semalam tetapi kita masih ada baki 90 minit di Thailand dan saya yakin kita mampu menjaringkan gol untuk layak ke final," katanya yang berjanji bermain sebaik mungkin jika diturunkan. - BERNAMA

Artikel Lain