suria

Pasukan Orica-Greenedge Sah Berkayuh Pada LTdL 2013

Ahmad Shabery menerima jersi pasukan Orica-Greenedge yang bakal menyertai LTdL tahun depan.
Ahmad Shabery menerima jersi pasukan Orica-Greenedge yang bakal menyertai LTdL tahun depan.
Ahmad Shabery menerima jersi pasukan Orica-Greenedge yang bakal menyertai LTdL tahun depan.

PUTRAJAYA: Pasukan Orica-Greenedge dari Australia menjadi pasukan ketiga Protour yang akan menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 pada 21 Februari hingga 2 Mac depan.

Sebelum ini pasukan Astana dan Garmin-Sharp telah mengesahkan penyertaan mereka pada aksi tahun depan.

Pasukan Down Under pertama yang dilayak menduduki ranking tertinggi ini memilih Malaysia sebagai destinasi baru mereka dalam kayuhan awal untuk musim mereka.

"Tetapi sejarah bersama kita sudah terpahat lama," kata pengurus pasukan Orica-GreenEdge, Shayne Bannan yang sebelum ini pernah menguruskan program prestasi tinggi Australia menerusi Institut Sukan Australia (AIS).

Malah, pasukan pertama yang muncul juara di LTdL pada 1996 adalah Giant-AIS ketika jelajah ini mula dilahirkan. Bannan juga adalah pengarah sukan (directeur sportif) bagi pasukan kebangsaan pada LTdL 1998.

“Itulah hubungan kami dengan pasukan Mapei dan bermula pusat latihan kami di Itali," kata Bannan.

Pernah menjadi pengarah kewangan Mapei ketika itu, Alvaro Crespi kini memegang jawatan yang sama bersama Orica-GreenEdge. Dan dia bukanlah wajah asing di Malaysia dan akan hadir di Kuala Lumpur untuk memperkenalkan pasukan itu dengan Le Tour de Langkawi 2013.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, jelajah kali ini mendapat respons positif daripada pasukan ProTour dan populariti LTdL semakin meningkat.

“Malah, kami cukup berbangga mempunyai pasukan ProTour ketiga untuk perlumbaan akan datang, selepas Garmin dan Astana. Saya difahamkan maklum balas yang diberikan untuk penyertaan kali ini lebih hebat berbanding tahun lalu,"jelasnya.

Orica-GreenEdge akan hadir ke Malaysia bersama salah seorang bintang mereka, Cameron Meyer yang juga juara dunia beberapa kali di pentas acara trek serta memenangi gelaran keseluruhan dalam Tour Down Under 2011.

Dia dianggap antara bintang Australia yang bakal menyinar dalam jelajah bertaraf Grand Tour.

Secara tidak langsung, mengambil kira kehebatannya dalam acara pendakian serta prestasi baik di setiap awal musim, tidak dinafikan dia adalah antara pencabar hebat dalam LTdL 2013, dan mengambil alih penguasaan pakar pendaki handalan dari benua Amerika Selatan yang sering mendominasi perlumbaan.

Meyer akan disertai adiknya, Travis yang juga seorang pelumba trek handal dan pembatu (domestique) yang boleh diharapkan.

Pelumba New Zealand, Sam Bewley yang memenangi pingat gangsa di Olimpik London dalam acara kejar-mengejar berpasukan, juga disenaraikan.

Seorang lagi jaguh dalam pembikinan adalah Luke Durbridge. Dengan lapan kejayaan termasuk prolog jelajah berstatus World Tour, Criterium du Dauphine, dia adalah pelumba profesional muka baru (neo-pro) paling berjaya pada 2012 ketika masih berusia 21 tahun.

Walaupun LTdL 2013 tidak melibatkan acara ujian masa individu yang memerlukan keistimewaan tenaga 'Turbo-Durbo', kekuatan kayuhannya pasti akan meninggalkan kesan di jalan raya Malaysia nanti.

Kelibat Pieter Weening juga pasti menonjol kerana pakar pendaki kelahiran Belanda ini adalah pelumba terakhir negara itu yang mampu memenangi peringkat di Tour de France pada 2005, selain menyarung jersi pendahulu keseluruhan selama empat hari di Giro d'Italia 2011.

Kerana mengenali bentuk laluan can cabaran LTdL, Orica-GreenEdge juga tidak lupa membawa bersama pakar pecut mereka, Aidis Kruopis dari Lithuania yang memenangi empat perlumbaan bagi pasukan Australia itu pada 2012, termasuk satu peringkat di jelajah berstatus World Tour, Tour of Poland.

“Melihat kehadiran Orica-GreenEdge adalah kemuncak hubungan baik sekian lama dengan Australia.

“Selaku pasukan Pro Team pertama dari Oceania, mereka cukup sempurna untuk jelajah ini. Kami difahamkan, mereka bukan sekadar untuk mengambil bahagian, tetapi membariskan senarai pelumba handalan untuk mengejar kejuaraan keseluruhan dan memenangi beberapa peringkat," kata Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal.

LTdL 2013 yang membawa slogan "The Heat is On" atau "Bahang Kian Dirasai" akan bermula secara rasmi di Kangar pada 21 Februari, melibatkan kayuhan sebanyak 10 peringkat sejauh 1466.6 kilometer.

Jelajah ini mendapat restu naungan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebagai perlumbaan berstatus 2.HC (kategori hors ) di dalam kalendar perlumbaan UCI Asia Tour, dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).

Edisi ke-18 juga dianggap istimewa kerana selain ia pulang ke tempat kelahirannya di Pulau Langkawi, ia juga menghidangkan laluan yang mencabar termasuk dua pendakian sukan ke Cameron Highlands dan Genting Highlands.

SENARAI PELUMBA ORICA GREENEDGE BAGI LE TOUR DE LANGKAWI 2013:

Pieter WEENING (NED), Luke DURBRIDGE (AUS), Cameron MEYER (AUS), Sam BEWLEY (NZL), Aidis KRUOPIS (LTU) dan Travis MEYER (AUS)

Artikel Lain