suria

Laluan Mencabar Menanti Chong Wei

KUALA LUMPUR: Ketiadaan musuh ketatnya pemain China Lin Dan pada Kejohanan Akhir Siri Super Dunia BWF di Shenzhen, China pada 12-16 Disember ini tidak menjamin kejuaraan buat pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei.

Ini kerana jaguh badminton Malaysia itu masih perlu bersemuka dengan rakan sepasukan Lin Dan iaitu pemain nombor tiga dunia, Chen Long.

Berdasarkan rekod pertemuan, Chong Wei hanya memenangi tujuh daripada 12 perlawanan dengan Chen Long, dan kekalahan terbaru beliau adalah pada Terbuka Hong Kong, bulan lalu.

Bagaimanapun, Chong Wei yang menyertai sembilan kejohanan tahun ini, telah menunjukkan prestasi yang baik apabila mara ke perlawanan akhir untuk semua kejohanan itu, dan memenangi lima daripadanya.

Kejohanan di Shenzhen kali ini adalah peluang bagi pemain berusia 30 tahun itu untuk mencatat rekod cemerlang 10 perlawanan akhir dalam 10 kejohanan.

Ia juga kesempatan untuk beliau merampas kembali takhta 'Raja Siri Super' yang menjadi miliknya pada 2008, 2009 dan 2010 sebelum terpaksa menarik diri tahun lepas akibat kecederaan bahu, dan Lin Dan membawa pulang kejuaraan.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kejohanan itu akan menampilkan lapan pemain terbaik daripada setiap kategori bagi merebut wang tunai berjumlah US$500,000 (RM1.5 juta).

Kelayakan adalah berdasarkan mata yang dikumpul pemain daripada kejohanan-kejohanan Siri Super yang disertai sepanjang tahun.

Berikutan itu, Lin Dan yang hanya bermain dalam tiga kejohanan Siri Super tahun ini iaitu Terbuka Korea, Terbuka Malaysia dan All England, gagal meraih cukup mata untuk layak ke pertandingan akhir.

Kejohanan tersebut turut menyenarai pemain muda China, Du Pengyu dan Kenichi Tago dari Jepun yang wajar diberi perhatian kerana kedua-dua mereka dilihat mampu mencipta kejutan.

Perseorangan kedua negara Liew Daren, pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus, Hu Yun dari Hong Kong dan jaguh Thailand Boonsak Ponsana juga bakal memberi cabaran dalam acara perseorangan lelaki.

Dalam saingan beregu, pasangan negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan Tan Wee Kiong/Hoon Thien How layak ke acara beregu lelaki manakala gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying muncul wakil Malaysia bagi acara beregu campuran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain