suria

Pahang Sasar 28 Emas Pada Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-16

KUANTAN: Pahang menyasarkan 28 pingat emas pada kejohanan Sukan Paralimpiad Malaysia ke-16 yang akan berlangsung di sini dari 7 hingga 14 Disember ini.

Ketua Kontinjen Pahang Datuk Mohd Zaili Besar berkata untuk mencapai sasaran itu, Pahang yang julung kali menjadi tuan rumah akan menghantar 286 atlet dan pegawai.

"Dalam 17 jenis sukan yang dipertandingkan, kontinjen Pahang akan sertai 14 jenis sukan kecuali 'boccia', tenis kerusi roda dan bola tampar duduk," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Menurutnya kelebihan menjadi tuan rumah diharap dapat mendorong semangat atlet untuk mencapai sasaran pingat yang ditetapkan.

"Pahang meletakkan sandaran utama kepada sukan pentaque untuk mendapat kutipan pingat paling tinggi iaitu 15 emas diikuti tenpin boling dengan lima emas," katanya. Beliau berkata, atlet pentaque juga merupakan atlet paling ramai dalam kontinjen Pahang iaitu 38 diikuti atlet olahraga 36 orang.

Lebih 2,500 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen akan menyertai temasya sukan itu nanti yang menawarkan 1,119 pingat keseluruhan termasuk 373 pingat emas. Sukan Paralimpiad berkenaan melibatkan atlet dengan mengambil kira enam kategori kecacatan iaitu cacat anggota, penglihatan, spastik, akal, pekak, dan kerdil. -BERNAMA

Artikel Lain