suria

Lebih 700 Pemain Sertai Kejohanan Boling All Stars 2012

PETALING JAYA: Lebih 700 pemain dari 13 negara termasuk juara Piala Dunia 2012 Muhd Syafiq Ridhwan Abdul Malek akan berentap pada Kejohanan Boling Antarabangsa All Stars Milo ke-13 di Sunway Mega Lanes, dekat sini, bermula Ahad ini hingga 22 Disember ini.

Kejohanan tersebut dibahagikan kepada dua pertandingan iaitu Junior Antarabangsa All Stars 2012 yang terbuka kepada pemain bawah 21 tahun, serta Masters yang terbuka kepada semua pemain dengan sistem handikap termasuk bekas juara Milo All-Stars.

Pengurus Pemasaran Sukan dan Penajaan Nestle (M) Bhd, Ng Ping Loon berkata antara pemain kali ini termasuk pemain remaja nombor satu Australia, Sam Cooley, pemenang emas kejuaraan dunia, Shayna Ng dari Singapura dan pemain Sweden, Kim Bolleby.

"Populariti kejohanan ini telah menarik lebih ramai pemain antarabangsa dari Asia dan Eropah," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Kejohanan tersebut menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM280,000.

Sementara itu, juara Masters dan naib juara kategori terbuka tahun lepas, Muhammad Rafiq Ismail, 15, berkata beliau berazam untuk mencapai kejayaan pada kejohanan tersebut bagi membuka peluang mewakili negara pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan. -BERNAMA

Artikel Lain