suria

Terengganu Ke Separuh Akhir Piala Emas Raja-Raja

KUALA TERENGGANU: Terengganu melangkah ke separuh akhir bola sepak Piala Emas Raja-raja apabila menundukkan Pahang 5-0 dalam perlawanan peringkat suku akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam Selasa.

Dalam perlawanan suku akhir pertama di Kuantan Sabtu lepas, Terengganu kalah 1-2 kepada Pahang.

Tiga pemain skuad Liga Malaysia, T-Team memperkuatkan pasukan Piala Emas Terengganu malam ini iaitu Mohd Badrul Hisyam Morris, Mohd Nur Alif Zainal Abidin dan Mohd Syuhiran Zainal.

Terengganu bermain dengan baik dan barisan penyerangnya yang terdiri daripada Mohd Hasrulsyawal Hamid dan Mohd Sharin Supian sering memecah benteng pertahanan Pahang.

Mohd Hasrulsyawal mengejutkan Pahang menerusi jaringan pertama Terengganu untuk membangkitkan semangat juang pada minit ke-28.

Muhd Fakhrurazi Musa, pemain sayap kiri menyumbangkan gol kedua Terengganu (minit ke-32) dan diikuti gol ketiga oleh Mohd Badrul Hisyam Morris minit ke-33 dan sebelum Mohd Hasrulsyawal menjaringkan gol keempat dan gol kedua peribadi (minit ke-36).

Semangat Pahang tidak luntur walaupun ketinggalan 0-4 dan mereka terus memberi saingan tetapi gagal memperoleh gol sehingga babak pertama tamat.

Babak kedua menyaksikan Terengganu terus memperkukuhkan kedudukan apabila pemain gantian Muhd Zulhanizam Shafine menjaringkan gol kelima untuk menambah derita Pahang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain