suria

Rafa Mengamuk...

Rafa Benitez. Foto AP
Rafa Benitez. Foto AP
Rafa Benitez. Foto AP

SELEPAS mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan, pengurus baru Chelsea, Rafa Benitez akhirnya hilang sabar dan mengamuk ke atas pemain-pemainnya dengan menggelar mereka sebagai tiada daya kepimpinan, tiada daya juang, tiada keyakinan diri dan tiada karakter.

Pengurus The Blues itu hilang sabar selepas menyaksikan pasukannya dimalukan 1-3 di tangan pasukan kerdil West Ham Sabtu lalu.

Kini Rafa mahu kembali bergantung harap kepada dua kuda tua John Terry dan Frank Lampard.

Kekalahan itu menyebabkan Rafa dikutuk oleh para penyokong setia Chelsea yang kembali melaung-laungkan nama Roberto DiMatteo yang dipecat tiga minggu lalu.

“Saya boleh terima kekalahan...yang saya tidak boleh terima ialah apabila para pemain membuka peluang dan laluan untuk lawan mencipta serangan dan gol," katanya.

Malah Rafa menyebut pasukan Chelsea bimbingan Jose Mourinho dahulu adalah pasukan yang memiliki karakter dan daya juang yang tinggi tetapi itu adalah pada masa lalu bukan sekarang.

Minggu ini, bekas juara Eropah itu akan kembali ke pentas Eropah untuk melengkapkan perlawanan terakhir mereka dalam kumpulan menentang pasukan dari Denmark, Nordsjaelland dan kemudian akan bertandang ke Sunderland Sabtu ini.

Untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya, mereka perlu menewaskan wakil Denmark itu dan pada masa yang sama berharap Juventus akan tewas.

Chelsea yang enggan memperbaharui kontrak Terry dan Lampard melampaui dua musim akhirnya terpaksa mengharapkan kekuatan karakter kedua-dua pemain itu untuk terus bersaingan memburu kejuaraan liga.

Menjawab pertanyaan mengenai pemain-pemainnya, Rafa berkata, masalah yang dihadapi Chelsea sekarang ialah ramai pemain baru yang masih berjuang untuk menyesuaikan diri dengan rentak Liga Perdana Inggeris yang pantas.

“Jika anda tidak dapat menyesuaikan diri dengan tekanan fizikal dalam liga ini anda akan gagal mempamerkan kualiti yang anda miliki...itu saja," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain