suria

Piala AFF: Harimau Malaya Bangkit Tewaskan Laos 4-1

Safee Sali (kiri) meraikan jaringan kedua Malaysia pada minit ke-66. Foto M. AZHAR ARIF / THE STAR
Safee Sali (kiri) meraikan jaringan kedua Malaysia pada minit ke-66. Foto M. AZHAR ARIF / THE STAR
Safee Sali (kiri) meraikan jaringan kedua Malaysia pada minit ke-66. Foto M. AZHAR ARIF / THE STAR

KUALA LUMPUR: Percaturan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagobal untuk meraih kemenangan pertama pada aksi Piala AFF Suzuki akhirnya tercapai selepas menewaskan Laos 4-1 pada aksi Kumpulan B Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu.

Tewas 3-0 pada aksi pertama menentang Singapura pada Ahad lalu, ternyata skuad Harimau Malaya tampil dengan corak permainan yang lebih bertenaga dengan menguasai permainan selain turut melakukan beberapa percubaan ke arah gol.

Peluang untuk mencipta gol pertama hadir menerusi penyerang utama, Safee Sali pada minit ke-10, tetapi gagal disempurnakan dengan tepat.

Namun lima minit selepas itu, kapten negara, Safiq Rahim berjaya menghasilkan jaringan sulung melalui sepakan percuma yang tepat ke arah gawang yang dikawal Sengphachan Bounthisanh.

Sementara itu, aksi hambar penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat pada aksi pertama sebelum ini menjadikannya sebagai pemanas bangku pada aksi malam Rabu dengan digantikan Farizal Marlias.

Kegembiraan mendahului 1-0 tidak berpanjangan apabila Khonesavanh Sivavong menyamakan kedudukan pada minit ke-38 apabila tendangannya terkena kaki pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan sebelum bola melambung ke arah gol.

Permainan separuh masa pertama kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Bersambung ke babak kedua, Malaysia melakukan satu pertukaran dengan mengeluarkan Azmi Muslim digantikan Zubir Azmi.

Pasukan Laos yang dibimbing jurulatih dari Jepun, Kokichi Kimura dilihat bangkit melakukan permainan yang lebih pantas, namun benteng pertahanan Harimau Malaya gandingan Shakir Shaari, Fadhli Shaas serta Aidil Zafuan menyukarkan pemain-pemain Laos menembusi kawasan kotak penalti.

Selepas hampir tujuh kali gagal melakukan percubaan tepat, akhirnya Safee berjaya menambah jaringan kedua negara pada minit-66 melalui hantaran Wan Zack Haikal.

Permainan semakin rancak apabila Wan Zack menambah satu lagi jaringan Malaysia pada minit ke-75 selepas melakukan tandukan cantik di depan pintu gol.

Tiga cukup dengan tiga gol, skuad Harimau Malaya terus garang menambah jaringan menerusi Khyril Muhymeen yang gol keempat pada minit ke-79 selepas beberapa minit menggantikan Safee.

Kemenangan ini juga kembali menghidupkan semula harapan seluruh peminat bola sepak tanah air untuk melihat pasukan negara mara ke pusingan seterusnya sebelum bertemu pasukan Indonesia pada aksi terkakhir peringkat kumpulan Sabtu ini.

Menurut Rajagobal, beliau tidak mahu pemain-pemainnya hanyut dengan kemenangan ini.

"Saya mahu pemain kita melupakan kemenangan malam ini dan beri fokus pada perlawanan menentang Indonesia kerana saya fikir perlawanan itu lebih sukar," katanya selepas perlawanan.

Katanya, sebagai pengendali pasukan, beliau tetap yakin dengan prestasi skuadnya itu.

"Saya masih yakin dan optimis dengan prestasi pasukan kita," katanya.

BARISAN PEMAIN:

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Azmi Muslim, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim (kapten), S. Kunalan, Mohd Shakir Shaari, Wan Zack Haikal Wan Nor, Norshahrul Idlan Talaha (Baddrol Bakhtiar), Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Khyrill Muhymeen Zambri).

LAOS: Sengphachan Bounthisanh, Ketsada Souksavanh, Soukaphone Vongchiengkham, Keoviengpheth Lithideth, Visay Phaphouvanin (kapten) (Daoneua Siviengxay), Kanlaya Sysomvang, Khonesavanh Sihavong, Phatthana Syvilay, Viengsavanh Sayyaboun, Kovanh Namthavixay, Khampeng Sayavutthi.

Artikel Berikut

Artikel Lain