suria

Syahrul Harap Piala AFF Suzuki Kekal Di Malaysia

PENYERANG Harimau Muda A, Syahrul Azwani Ibrahim mengharapkan trofi Piala AFF Suzuki yang dijulang dua tahun lalu oleh skuad kebangsaan akan terus berada di Malaysia pada edisi tahun ini.

"Saya mengharapkan kejayaan dua tahun lalu akan diteruskan pada aksi tahun ini.

"Sebagai pasukan bergelar juara, saya yakin pemain-pemain negara kita akan menunjukkan kemampuan sebenar.

"Peluang untuk menang tetap ada, lebih- lebih lagi bermain di tempat sendiri," jelasnya ketika ditemui pada pelancaran but bola Nike ACC (All Conditions Control).

Syahrul,19, merupakan penyerang muda berbakat negara yang kini berada dalam skuad jurulatih Ong Kim Swee.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini merupakan antara pemain yang sama-sama membantu skuad Malaysia mempertahankan pingat emas pada Sukan Sea di Jakarta tahun lalu.

"Buat masa sekarang skuad Harimau Muda A sedang bercuti dan akan kembali bersama pasukan pada 3 Disember ini," jelasnya.

Sementara itu mengenai but Nike ACC, ia direka dengan menggabungkan inovasi reka bentuk terkini dengan prestasi menghasikan gaya permainan yang berbeza sama ada dalam keadaan padang basah ataupun kering.

Ciri-ciri ACC ini boleh didapati pada semua but termasuk Mercurial Vapor VIII, Tiempo Legend IV, CTR360 Maestri III dan Total 90 Laser IV.

"Saya lebih selesa menggunakan but Mercurial kerana ia memberi pergerakan yang lebih pantas, sentuhan yang lebih kemas serta ia memberi cengkaman yang lebih baik ketika melakukan tendangan," jelasnya yang telah menggunakan but ini lebih kurang dua tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain