suria

Piala AFF: Thailand Tempah Tiket Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Juara tiga kali Thailand menjadi pasukan pertama menempah tiket ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 selepas membelasah Myanmar 4-0 pada perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada Selasa.

Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan Thailand selaku juara 1996, 2000 dan 2002 mengumpul enam mata keseluruhan untuk menerajui Kumpulan A.

Penyerang berbisa skuad Gajah Putih itu, Teerasil Dangda membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum pemain gantian, Apipoo Sunthornpanavej menggandakan kedudukan untuk skuad bimbingan Winfried Schafer itu pada minit ke-59.

Teerasil mengesahkan slot mereka ke separuh akhir dengan dua gol lagi, masing-masing pada minit ke-83 dan 89.

Terdahulu dalam kumpulan yang sama, Filipina yang sebelum ini kalah 1-2 kepada Thailand pada perlawanan pembukaan Sabtu lepas kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Vietnam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan EmelioCaligdong pada minit ke-85.

Thailand bakal menamatkan aksi Kumpulan A bertemu Vietnam manakala Filipina akan bertemu Myanmar Jumaat ini.

Perlawanan Thailand menentang Vietnam akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok manakala perlawanan melibatkan Vietnam dan Filipina akan berlangsung di Stadium Muang Thong, Bangkok.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain