suria

Hamilton Sedih Tinggalkan McLaren

Hamiton menitiskan air mata ketika bercerita mengenai perasaan sedihnya untuk meninggalkan McLaren.
Hamiton menitiskan air mata ketika bercerita mengenai perasaan sedihnya untuk meninggalkan McLaren.
Hamiton menitiskan air mata ketika bercerita mengenai perasaan sedihnya untuk meninggalkan McLaren.

PEMANDU Britain, Lewis Hamilton begitu terharu ketika mengulas mengenai perlumbaan terakhir bersama McLaren minggu ini.

Karier Hamilton bersama McLaren akan berakhir sebaik menamatkan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Brazil di Litar Interlagos pada Ahad.

Ketika ditanya mengenai perasaannya sebaik melepasi garisan penamat pada aksi penutup musim tersebut, juara dunia 2008 itu berkata: "Sukar untuk digambarkan.

"Mereka (McLaren) dianggap sebagai sebuah keluarga buat saya dan saya pula akan berhijrah ke pasukan lain (Mercedes GP) musim depan.

"Lebih baik saya tidak bercakap banyak mengenainya," kata Hamilton sebelum menitiskan air mata ketika menjawab pertanyaan media.

Media Britain yakin Hamilton mula berasa tidak sampai hati untuk meninggalkan pasukan tersebut kerana dia masih terhutang budi dengan bekas mentornya, Ron Dennis.

Pemandu berusia 27 tahun itu akan berhijrah ke Mercedes GP bagi menggantikan tempat Michael Schumacher yang akan bersara akhir musim ini.

Begitupun, Hamilton turut mendedahkan bahawa situasi paling sukar yang dialaminya sepanjang karier adalah ketika dia menghubungi ketua pasukan McLaren, Martin Whitmarsh.

"Perkara yang paling sukar adalah ketika menghubungi (menerusi telefon) Whitmarsh untuk memberitahu perkara yang tidak pernah saya fikirkan sebelum ini.

"Kami sangat rapat dan beliau sentiasa menyokong saya. Saya tidak mahu orang lain kecewa kerana saya.

"Begitupun, pada hari terakhir nanti saya terpaksa juga berbuat sedemikian apabila ia melibatkan pilihan," jelas Hamilton.

Dalam perkembangan lain, Whitsmarsh mengakui beliau sangat berharap pemandu berbakat itu akan kembali semula ke pasukan tersebut.

"Ya, kami akan dapatkannya semula. Jadi, kami berharap pemergian Hamilton hanya untuk sementara sahaja," ujarnya.

Artikel Lain