suria

Kerajaan Pusat Sumbang RM1 Juta Kepada The Red Warriors

MACHANG: Kerajaan pusat pada Jumaat menyumbang RM1 juta kepada pasukan The Red Warriors kerana menjuarai tiga kejohanan musim ini iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju memberi sumbangan itu selepas melihat bola sepak membawa kesan positif kepada perpaduan di Kelantan.

"Kita mahukan bola sepak menyatukan orang Kelantan tidak kira mereka berada di bawah panji mana pun," katanya berucap di hadapan kira-kira 10,000 penyokong The Red Warriors sempena majlis perarakan ketiga-tiga piala tersebut di Sekolah Kebangsaan Machang I di sini Jumaat.

Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaacob.

Badan Perhubungan Umno Kelantan turut menyerahkan RM200,000 kepada The Red Warriors bagi menyokong perkembangan bola sepak di Kelantan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ini merupakan tahun keempat Kelantan mendapat bantuan daripada kerajaan pusat untuk membangunkan sukan bola sepak selepas dianaktirikan kerajaan negeri.

"Duit adalah penting untuk pembangunan apa pun kerana kita kena tanggung kos yang tinggi, selain kepimpinan dan pengurusan yang bagus. Penyokong juga penting untuk terus beri sokongan.

"Saya ucap tahniah kepada Tan Sri Annuar Musa kerana berjaya rangkul tiga piala ini. Nak capai kejayaan itu senang, tapi nak pertahankannya payah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain