suria

Piala AFF Suzuki: Singapura Bersikap Rendah Diri

SEPANG:Jurulatih skuad bola sepak Singapura Radojko Avramovic mengambil sikap merendah diri mengenai keupayaan anak buahnya menjelang kempen Piala AFF Suzuki 2012 Ahad ini, walaupun skuad berkenaan adalah antara pasukan pilihan memenangi kejuaraan itu kali ini.

Avramovic berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran kepada pasukannya pada edisi kali ini, namun berharap anak didiknya dapat mara ke peringkat separuh akhir.

"Sasaran saya sangat mudah iaitu kami mesti melihat kepada persembahan kami dahulu dan jika kami boleh mara ke pusingan seterusnya (separuh akhir) ia adalah sesuatu yang baik untuk kami.

"Ini (AFF Suzuki) adalah kejohanan utama untuk pasukan bola sepak Asia Tenggara dan kami akan bermain menentang Malaysia pada perlawanan pertama. Jika kami layak ke pusingan seterusnya ia adalah kelebihan untuk pemain," katanya kepada pemberita ketika tiba bersama pasukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini Khamis.

Singapura diletakkan antara pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan berkenaan berdasarkan pencapaian mereka pada edisi lepas apabila muncul juara pada 1998, 2004 dan 2006/2007.

Selain berdepan Malaysia pada perlawanan pembukaan Ahad ini, jurulatih kelahiran Serbia itu berkata saingan dalam kumpulan B yang turut menyaksikan pasukan Indonesia dan Laos, pastinya sengit.

Sementara itu, ketua pasukan Singapura, Shahril Ishak menjangkakan perlawanan menentang Malaysia pastinya sukar kerana mereka bukan sahaja berdepan skuad Harimau Malaya tetapi penyokong setia pasukan tuan rumah.

"Malaysia sebuah pasukan yang kuat ditambah dengan pemain yang serba boleh seperti Safee Sali yang mampu menjaringkan gol dan dibantu pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha kemudian di bahagian tengah ada Safiq Rahim...sudah pasti perlawanan pertama nanti akan lebih sengit kepada kami," katanya. BERNAMA

Artikel Lain