suria

Media Britain Besarkan Cerita Di Matteo Bakal Dipecat Sebagai Pengurus Chelsea

CHELSEA kini mencatat sejarah sebagai penyandang juara yang pertama tersingkir di peringkat kumpulan Piala Juara-Juara Eropah 2012 selepas ditewaskan Juventus 0-3 awal pagi tadi.

Dan kini akhbar paling berpengaruh di Britain, The Sun, melaporkan nasib dan masa depan pengurusnya, Roberto Di Matteo (RDM) juga ibarat di hujung tanduk dan sudah pasti akan menerima nasib dipecat sepertimana pengurus-pengurus yang lalu apabila gagal dalam kejohanan yang sama.

Kata The Sun, soal sama ada RDM akan terus kekal sebagai pengurus tidak berbangkit lagi. Hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk dipecat.

Pemilik Chelsea, jutawan Rusia, Roman Abramovich terkenal sebagai seorang yang tidak bertolak ansur dalam soal ini.

Jika beliau tidak berasa apa-apa untuk memecat nama-nama besar seperti Jose Mourinho, Carlos Ancelloti, Philip Scolari dan Andre Villas-Boas, kerana gagal membawa Chelsea ke kejuaraan Eropah atau apa-apa kejuaraan, maka RDM adalah tidak ada apa-apa baginya.

Malah akhbar The Sun melaporkan, Abramovich sudah pun mengarahkan pengurusan kanan Chelsea menjejaki bekas pengurus Liverpool, Rafa Benitez sebagai penganti sementara sehingga musim ini selesai.

Sasaran utama Roman Abramovich ialah untuk mendapatkan khidmat bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola untuk mengurus Chelsea.

Beliau cuma kini menunggu tempoh sabatikal Guardiola tamat iaitu berehat selama semusim sebelum bergiat aktif semula dalam dunia bolasepak.

Sementara itu RDM dalam satu kenyataan selepas tersingkirnya Chelsea dari kejohanan paling berprestij ini menerima segala tanggungjawab di atas kekalahan di Turin.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan di Turin kerana saya bertanggungjawab sepenuhnya memilih senarai pemain," katanya.

RDM terpaksa menanggung beban dengan keputusannya untuk menguggurkan Fernando Torres dari kesebelasan utama.

Pengurus itu menerima hakikat yang kedudukannya kini telah terumbang ambing akibat kekalahan tersebut setelah berjaya memenangi Piala Eropah buat pertama kalinya untuk Chelsea enam bulan yang lalu.

Malangnya dia juga menjadi pengurus bagi pasukan juara yang pertama tersingkir di peringkat kumpulan.

Secara matematiknya Chelsea masih berpeluang layak ke peringkat seterusnya jika mereka berjaya memperolehi tiga mata dalam perlawanan terakhir di peringkat kumpulan tetapi dengan syarat Juventus perlu tewas di tangan pendahulu kumpulan, Shakhtar Donetsk.

Tidak cukup dengan bebanan terbaru yang terpaksa ditanggung ini, Chelsea juga bakal berhadapan dengan satu lagi halangan yang besar Ahad ini apabila mereka bertemu dengan Manchester City.

Barang diingat, City kini bukan sahaja pendahulu liga malah merupakan satu-satunya pasukan yang masih belum ditewaskan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain