suria

Hoki: Piala Sultan Johor Milik Jerman

JOHOR BAHARU: Piala Sultan Johor menjadi milik Jerman selepas pasukan itu menewaskan India 3-2 pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun di Stadium Hoki Taman Daya di sini, Ahad.

India lebih menguasai permainan pada separuh masa pertama namun Jerman berjaya mendapatkan pukulan sudut penalti untuk menjaringkan gol yang pertama melalui Jonas Gomoll pada minit ke-11.

Gol tersebut bagaimanapun tidak melemahkan semangat India yang menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja pada tahun depan, pada minit ke-24, Satbir Singh yang menerima hantaran daripada ketua pasukan India Mampreet Singh menyamakan kedudukan.

Namun pada minit ke-31 Jerman sekali lagi di hadapan apabila Joshua Delarber menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi pasukannya yang merupakan juara lima kali Piala Dunia Remaja.

Anak-anak buah Jamilon Muelders melebarkan lagi jaringan apabila Florian Adrians yang menerima hantaran Niklas Wellen menewaskan Sushant Tirkey untuk gol ketiga pasukannya pada minit ke-49.

Apabila permainan berbaki tiga minit, Akashdeep Singh merapatkan jaringan untuk gol kedua pasukan India.

Dalam perlawanan sebelum itu, Australia menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Pakistan 3-2.

Pasukan yang dikenali sebagai 'Burras' itu beraksi cemerlang menguasai separuh masa pertama dengan menjaringkan dua gol.

Namun, permainan pasukan itu semakin lemah pada separuh masa kedua dan menyaksikan Pakistan mengambil kesempatan itu untuk menyamakan kedudukan untuk mengikat Australia sehingga masa tamat.

Perlawanan diheret ke masa tambahan, namun, nasib Australia lebih baik apabila Jayshaan Randhawa menjaringkan gol kemenangan dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Piala kemenangan disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Iskandar.

Turut hadir ialah Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain