suria

Malaysia Terlepas Piala Sultan Johor

JOHOR BAHARU: Malaysia sudah sah tidak mempunyai peluang untuk mempertahakan Piala Sultan Johor apabila kalah 2-0 kepada Pakistan pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun di Stadium Hoki Taman Daya di sini, Khamis.

Kekalahan Skuad Projek 2013 kendalian jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah itu merupakan ketiga berturut-turut selepas tumpas 5-2 kepada New Zealand dan 3-2 kepada naib juara Australia.

Lebih memalukan apabila Malaysia tercorot dalam kedudukan enam pasukan bertanding pada edisi kedua kejohanan antarabangsa itu.

Malaysia hanya menang perlawanan pembukaan dengan mengalahkan Jerman 3-2 pada Ahad lepas. Skuad negara akan melengkapkan jadual pertandingan dengan menentang India pada Sabtu ini.

Pakistan pula mencapai kemenangan pertama dalam empat perlawanan dengan Muhammad Dilber membuka tirai jaringan pada minit ke-20 sebelum menambah gol kedua pada babak kedua menerusi Muhammad Irfan pada minit ke-39.

Dalam pada itu, pada perlawanan lain, India mengesahkan tempat ke final apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengecewakan New Zealand 3-1.

Pasukan kendalian Baljeet Singh Saini memperolehi gol pertama pada minit ke-18 menerusi gol padang Mandeep Singh dikuti pada minit ke-27 oleh Harjeet Singh dan ketiga oleh Manpreet Singh pada minit ke-33. Gol saguhati New Zealand diperoleh melalui jaringan Benedict Van Woerkom pada minit ke-47.

Sementara itu, Jerman melonjak ke tempat kedua apabila menundukkan Australia 2-0, hasil jaringan Dieter Linnekogel pada minit ke-13 dan Florians Adrians pada minit ke-51.

Esok, adalah hari rehat dan perlawanan terakhir satu kumpulan itu akan berlangsung Sabtu ini dengan Jerman menentang Pakistan (4.05 petang), Malaysia bertemu India (6.05 petang) dan Australia berdepan dengan New Zealand pada pukul 8.05 malam. -BERNAMA

Artikel Lain