suria

Fantastik 4 Ferguson Adalah Yang Terbaik Yang Pernah Dilahirkan - Alan Shearer

Alan Shearer
Alan Shearer
Alan Shearer

BEKAS PENYERANG England, Alan Shearer menyifatkan empat penyerang Manchester United - Robin van Persie, Wayne Rooney, Danny Welbeck dan Javier Hernandez - sebagai gandingan yang terbaik yang pernah dimiliki oleh Sir Alex Ferguson sepanjang 26 tahun menjadi pengurus kelab itu.

Menamakan mereka sebagai "The Fantastic 4" Shearer melihat keempat-empat pemain itu telah meletakkan diri mereka sebagai sebarisan penyerang yang paling digeruni bukan sahaja dalam Liga Perdana Inggeris tetapi juga di Eropah.

Menulis di dalam kolum mingguannya di akhbar The Sun UK, Shearer berkata, di sebalik United ketinggalan sekali lagi di belakang tetapi kekuatan barisan penyerangnya telah menyaksikan pasukan itu melakukan sesuatu yang luar biasa.

"Mereka memboloskan gol sekerap mereka menjaringkan gol tetapi pasukan ini memiliki kekuatan yang luar biasa pada barisan serangannya.

"Kini tiada siapa pun yang dapat menafikan Robin van Persie, Wayne Rooney, Danny Welbeck dan Javier Hernandez adalah barisan penyerang yang paling digeruni yang pernah dimiliki oleh Alex Ferguson," kata Shearer.

Menurut Shearer, satu-satunya generasi penyerang yang mungkin menyamai generasi yang ini ialah Andy Cole, Dwight Yorke, Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer pada musim 1999.

Jumaat lalu, Ferguson telah pun meletakkan sasaran 100 gol untuk musim ini dan pasukannya telah pun menjaringkan 29 gol dari hanya 11 perlawanan.

Dan kata Shearer, jika ditambah sembilan lagi gol dari empat perlawanan dalam Liga Juara-Juara serta lima dari Piala Capital One, bermakna United telah menyumbat 43 gol dari keseluruhan 17 perlawanan pada pelbagai peringkat musim ini.

Dan yang menariknya, kata Shearer, pasukan ini tidak hanya bergantung harap kepada seorang penyerang sahaja iaitu Van Persie — sebaliknya 13 orang pemain telah tercatat nama sebagai penjaring gol.

Van Persie hanyalah sebagai penyerang utama tetapi rantaiannya dengan Rooney nampak seolah-olah mereka telah bermain bersama sejak bertahun-tahun lamanya.

"Tidak dapat dinafikan, lebih banyak gol akan disumbangkan oleh Rooney kerana dia adalah pemain bertaraf dunia. Welbeck oleh kerana usia mudanya akan mengambil masa untuk menjadi lebih tajam di barisan hadapan tetapi kerja kerasnya telah membuka peluang bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga pemain lain," kata Shearer.

Tidak cukup dengan itu, United juga ada Hernandez - hero tiga gol dalam pertemuan dengan Aston Villa Sabtu lalu.

Sehubungan dengan itu Shearer meramalkan yang Van Persie, Rooney dan Hernandez kesemuanya akan mampu menjaringkan 20 gol seorang musim ini jika ratio jaringan sekarang berkekalan sehingga ke akhir musim.

Dan Shearer berkata, apa yang membezakan pasukan Manchester United ini berbanding pasukan-pasukan yang lain ialah kepercayaan mereka kepada diri sendiri yang walau bagaimana buruk sekali pun mereka bermain, mereka akan tetap menjaringkan gol.

Statistik minggu-minggu yang lalu menjadi bukti. Di Braga, dalam Liga Juara-Juara, mereka ketinggalan 1-0 dan bermain di bawah par sepanjang 80 minit permainan.

Tetapi dalam 10 minit terakhir mereka menjaringkan 3 gol untuk menang 3-1.

Perkara yang sama berlaku ketika mereka menerima kedatangan Braga di Old Trafford. Mereka ketinggalan 2-0 tetapi tetap menang 3-2.

Kemudian Sabtu lalu menentang Villa di Villa Park. Pasukan tuan rumah bermain dengan penuh disiplin dan baik sekali sepanjang separuh masa pertama dan sedang mendahului 2-0.

Tetapi sekali lagi, United menang 3-2.

Ketika mereka sedang ketinggalan 0-2, sesiapa sahaja yang menyaksikan perlawanan itu tahu yang United akan menjaringkan gol di saat-saat akhir.

Dan sebaik sahaja mereka memperolehi gol pertama, anda tahu yang gol kedua dan ketiga akan menyusul tiba.

"Ini bukan dinamakan nasib. Ini adalah kepercayaan yang mendalam yang ditanam oleh Alex Ferguson kepada setiap pasukan yang dibimbingnya dan bukan sahaja pasukan sekarang.

"Dalam keadaan mereka bermain dengan buruk pun mereka boleh bangun dan menang apatah lagi jika dalam prestasi tinggi," tegas Shearer.

Dan Sabtu lalu adalah perlawanan yang ketujuh musim ini yang menyaksikan mereka ketinggalan dua gol atau lebih tetapi masih berupaya menang.

Ia, kata Shearer, adalah satu rekod liga perdana.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain