suria

Skuad Terengganu Uji Dua Lagi Pemain Import Ahad Ini

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu dijangka akan menguji dua pemain import dari Brazil dan Republik Kongo bagi memperkuatkan pasukan itu dalam mengharungi Liga Super musim depan.

Pengurus pasukan, Marzuki Sulong berkata, setakat ini pihak Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) masih menunggu kehadiran dua pemain itu yang dijangka tiba pada Ahad ini untuk melihat dan menilai mutu permainan mereka.

Katanya, kedua-dua pemain itu akan dinilai untuk mengisi kekosongan di posisi serangan.

Marzuki berkata, sehingga kini seramai tujuh pemain import telah mengikuti sesi pemilihan yang diadakan sejak awal bulan ini dan termasuk yang terbaru dua pemain dari Oman dan Maghribi yang diuji pada Rabu.

Katanya, sebelum ini lima pemain import telah diuji antaranya daripada Oman, Ghana, Republik Kongo, Brazil dan Perancis namun keupayaan mereka masih belum menepati kriteria jawatankuasa pemilihan.

"Kita masih giat membuat sesi pemilihan ini dengan kehadiran dua pemain import iaitu Yassine Massifi (Maghribi) dan Said Al Soon (Oman) yang turut kita sertakan pada perlawanan persahabatan bersama skuad Piala Emas Raja-Raja semalam," katanya.

Pasukan Terengganu mencari dua pemain import bagi mengisi kekosongan di posisi serangan dan pertahanan apabila PBSNT mengambil keputusan tidak menyambung kontrak pemain import Francis Forkey Doe (penyerang) dan Erison Da Silva (pertahanan) untuk musim depan.

"Buat masa ini kita masih belum membuat sebarang keputusan sehingga jawatankuasa pengurusan bermesyuarat dan senarai penuh pemain juga akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain