suria

MOM Tubuh Jawatankuasa Khas Berhubung Cadangan Pinda Akta Pembangunan Sukan 1997

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi memantau serta memberi pandangan berhubung cadangan untuk meminda Akta Pembangunan Sukan 1997.

Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu akan dimaklumkan pada mesyuarat badan induk sukan negara itu dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar dan dianggotai Pesuruhjaya Sukan dan wakil persatuan sukan.

"Sepatutnya, mesyuarat membincangkan perkara itu diadakan semalam tetapi ditunda. MOM akan membawa usul untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa khas yang akan membantu Pesuruhjaya Sukan dalam membuat sebarang keputusan.

"Sebelum ini, Pesuruhjaya Sukan bertanggungjawab membuat dan meneliti mana-mana cadangan dan pindaan yang perlu dibuat dan ini dilihat membebankan. Atas sebab itu MOM berpendapat jika tugas itu dibuat bersama wakil MOM dan persatuan sukan, saya yakin satu keputusan yang baik akan dihasilkan," katanya ketika ditemui Bernama di Wisma MOM di sini, Selasa.

Pada Sabtu lepas, cadangan untuk meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 dan Rancangan Strategik MOM 2011-2016 adalah antara agenda yang dibincangkan semasa mesyuarat Majlis MOM.

Mengenai Rancangan Strategik MOM 2011-2016, Kok Chi berkata MOM dalam perancangan untuk memohon dana khas daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi membantu persatuan sukan yang memerlukan peruntukan tersebut.

Beliau berkata tidak dinafikan terdapat persatuan sukan yang mampu bergerak sendiri tanpa bantuan kerajaan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Namun ada persatuan sukan yang amat memerlukan dana bagi membantu pegawai mereka dalam menguruskan keperluan persatuan sukan masing-masing. Tanggungjawab pembangunan sukan terletak di tangan persatuan sukan bukannya MOM.

"Tetapi kami sedar, jika persatuan sukan yang memerlukan dana ini diketepikan, pembangunan sukan negara tidak akan maju kerana kita bukannya tidak mempunyai atlet tetapi disebabkan kurangnya dana untuk meningkatkan kualiti atlet kita," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain