suria

Kehadiran Dua Jurulatih Baru Bakal Perkasa Skuad Terjun Negara - Pandelela Rinong

KUCHING: Pemenang pingat gangsa di Olimpik London, Pandelela Rinong Pamg menyifatkan kehadiran dua jurulatih baharu skuad terjun negara dari China akan memperkasa dan bertepatan dengan persiapan jangka panjang negara menghadapi Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

Beliau percaya pengalaman kedua-dua jurulatih tersebut mampu membantu persedian memantapkan skuad negara yang kini sedang diusahakan oleh ketua jurulatih Yang Zhuliang.

"Kehadiran mereka dalam skuad sangat baik. Selain dapat membantu skuad terjun negara, mereka akan kurangkan beban tugas yang digalas oleh ketua jurulatih Yang Zhuliang dan pembantunya Zhang Yikun. Saya harap mereka berdua dapat cepat sesuaikan diri dengan suasana di Malaysia," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Pandelela turut yakin prestasi skuad negara akan bertambah baik dan menyeru rakan-rakan dalam skuad terjun terutama penerjun pelapis untuk menimba sepenuh pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh kedua-dua jurulatih itu.

Selepas ketua jurulatih Yang Zhuliang bersetuju menyambung kontrak selama dua tahun lagi, Majlis Sukan Negara (MSN) telah melantik dua lagi jurulatih baharu iaitu Wu Minghong dan Pan Zhaowei yang dicadangkan sendiri oleh ketua jurulatih itu.

Kedua-dua jurulatih baharu tersebut akan berkhidmat secara kontrak selama dua tahun.

Mengulas mengenai Yang Zhuliang yang telah setuju menyambung kontrak, Pandelela berterima kasih kepada usaha bersungguh-sungguh MSN mengekalkan jurulatih yang telah banyak membantu kejayaan skuad terjun negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain