suria

Terengganu Hantar Lima Regu Ke Piala Presiden PSM

KUALA TERENGGANU: Terengganu akan menghantar lima pasukan terbaiknya untuk menyertai kejohanan sepak takraw antara regu Piala Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) siri ke-5 di Keramat, Kuala Lumpur pada 23 dan 24 November ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata pasukan Terengganu itu akan dibarisi 20 pemain negeri dan Sukan Malaysia (Sukma) sebagai pendedahan untuk Sukma 2014.

Kejohanan Piala Presiden merupakan usaha PSM untuk mencungkil bakat-bakat baharu, kata Mohd Shapian yang juga Naib Presiden PSM kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Sepaktakraw Antara Regu Terengganu 2012 Piala Menteri Besar di Stadium Negeri di sini, Ahad.

Regu sepak takraw Majlis Sukan negeri Terengganu (MSNT) muncul juara kejohanan itu setelah mengalahkan Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastak) Kelantan 2-0 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shapian berkata Terengganu sedang mengenal pasti pasukan atau regu terbaik untuk mewakili negeri dalam mana-mana pertandingan. Sementara itu, beliau menyarankan semua persatuan sepak takraw negeri supaya kerap menganjurkan kejohanan bagi membantu negara mencungkil bakat-bakat baru.

Beliau berkata ketiadaan penganjuran kejohanan di peringkat negeri menyebabkan negara ketandusan pemain-pemain muda yang berkaliber. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain