suria

Pemilihan Tengku Abdullah, Bukti Pengiktirafan Dunia

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) kelihatan ceria bersama Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa, Leandro Negre sebelum sidang akhbar sempena Kongres Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Ke-43.
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) kelihatan ceria bersama Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa, Leandro Negre sebelum sidang akhbar sempena Kongres Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Ke-43.
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) kelihatan ceria bersama Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa, Leandro Negre sebelum sidang akhbar sempena Kongres Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Ke-43.

KUALA LUMPUR: Pemilihan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai ahli lembaga eksekutif Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membuktikan bahawa kepimpinan sukan tanah air diiktiraf dunia.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pemilihan itu menunjukkan bahawa Tengku Abdullah bukan sahaja popular di dalam negara malah telah dihormati di peringkat antarabangsa atas usaha beliau membangunkan sukan khususnya sukan hoki.

"Apabila FIH yang merupakan badan terbesar dalam sukan hoki memberi pengiktirafan itu, pastinya mereka yakin Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah mampu memberi sumbangan pada kemajuan sukan hoki dunia.

"Ini menjadi contoh kepada pemimpin sukan kebangsaan yang lain, supaya mereka bukan sahaja menjadi pemimpin di peringkat kebangsaan malah cuba untuk menjadi 'world player' dalam bidang masing-masing," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Suaian Fizikal anjuran Institut Sukan Negara (ISN) di Dewan Perdana, ISN, Bukit Jalil, di sini, Isnin.

Ahmad Shabery turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Tengku Abdullah di atas pemilihan tersebut yang diadakan bersempena Kongres Dunia FIH ke-43 Sabtu lalu.

Pemilihan bagi sesi 2012-2016 itu menyaksikan Tengku Mahkota Pahang meraih undian tertinggi iaitu 67 undi untuk mengisi satu daripada dua jawatan bagi calon lelaki bersama penyandang jawatan Jan Albers dari Belanda yang memperoleh 52 undi daripada 84 perwakilan.

Dua lagi calon iaitu penyandang jawatan Stephan Abel dari Jerman dan Sergey Chechenkov dari Rusia masing-masing hanya menerima 21 undi dan 12 undi.

Sebagai rekod, Tengku Abdullah merupakan ahli ketiga dari Asia yang mengganggotai ahli lembaga FIH selepas Presiden Persekutuan Hoki Asia Sultan Azlan Shah dan Qasim Zia dari Pakistan sebagai ahli tetap FIH.

Sementara itu, berhubung penganjuran Piala Dunia Hoki, Ahmad Shabery berkata Malaysia berkemampuan untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

"Dari segi penganjuran kejohanan hoki peringkat dunia, sudah terbukti kita mampu. Tetapi kita tidak mahu cemerlang daripada segi penganjuran sahaja, kita juga nak lihat pasukan negara muncul sebagai enam atau lima terbaik dunia dan menjadi penyumbang pingat di Olimpik," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain