suria

FAM Diminta Tangani Isu Masalah Kontrak Pemain

SEREMBAN: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menangani isu pemain yang masih mempunyai kontrak dengan pasukan lamanya tetapi dalam masa sama menandatangani kontrak baharu dengan pasukan lain.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara ini tidak beretika dan jika tidak ditangani akan berlaku 'aktiviti kurang sihat' dan orang sudah tidak menghormati lagi tentang kontrak.

"Kita panggil diri kita liga profesional tapi sebenarnya tidak. Oleh itu, saya minta FAM siasat perkara ini kerana badan itu lebih arif dan terpulang kepada FAM untuk melihat perkara ini supaya ia tidak menjadi penyakit.

"Kalau perlu diperbaiki, diperbaiki...kalau rasa dah ok, terpulanglah. Saya tak cadangkan apa-apa dan saya tak komen apa-apa, tapi bagi saya perkara ini adalah sesuatu yang tidak betul," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

"(Misalnya) kalau pun nak sangat pemain Negeri Sembilan, tulislah surat kepada PBNS minta kebenaran untuk berbincang...kami akan beri, tak ada masalah, lagi pun terpulang kepada pemain itu sama ada hendak sambung kontrak atau tidak.

"Tetapi selagi pemain itu mempunyai kontrak dengan kami, dia tidak boleh menandatangani kontrak baharu dengan pasukan lain dan pasukan yang hendak mengambil pemain ini mesti menghormati kontrak masih ada," katanya.

Sementara itu, katanya, ramai pemain Negeri Sembilan yang habis kontrak mereka hujung bulan depan menolak tawaran untuk menyambung kontrak dengan PBNS.

"Semua pemain kita tawar, tetapi tawaran kita ditolak. Kalau pun mereka menerima tapi bersyarat dengan syarat yang amat tidak munasabah," katanya.

Mohamad berkata Negeri Sembilan akan membina sebuah pasukan baharu musim depan daripada beberapa pemain baharu dan pemain muda Piala Presiden.

"Kita juga nak sahkan di sini bahawa seperti mana yang tersebar di akhbar, jurulatih Azraai Khor Abdullah tidak lagi mahu bersama pasukan Negeri Sembilan dan setelah kita membuat penyenaraian pendek, antara jurulatih yang akan menggantikan beliau ialah jurulatih Persebaya, Indonesia, Dibaldo Elves yang berasal dari Portugal," katanya.

"Saya nak lihat Negeri Sembilan mempunyai seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman dan idea baharu untuk melatih dan memimpin pasukan kami," katanya.

Selain itu, katanya, PBNS juga sedang mengkaji pengambilan pemain import baharu untuk musim depan.-BERNAMA

Artikel Lain