suria

Pandelela Dan Haziq Dinobat Olahragawati, Olahragawan SSBJ 2012

KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg dan atlet memanah Haziq Kamaruddin dinobatkan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) 2012 di sini, Isnin.

Kedua-dua Olimpiad itu dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka dalam sukan masing-masing, khususnya pencapaian mewakili Malaysia pada Olimpik Julai lalu selain kutipan emas menerusi Sukan SEA di Indonesia tahun lepas.

Pandelela yang muncul atlet wanita pertama Malaysia meraih gangsa Olimpik bagaimanapun tidak hadir berikutan terlibat dalam kejohanan di luar negara.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Gemilang SSBJ, Haziq, 19, berkata beliau amat bersyukur dengan anugerah itu yang secara tidak langsung membakar semangatnya untuk mempamer prestasi lebih baik.

Meskipun tersingkir awal pada Olimpik lalu, anak muda dari Johor Baharu itu tidak berputus asa dan telah memulakan persiapan untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik di Rio de Janeiro 2016.

"Terima kasih pada pihak sekolah yang memilih saya untuk meraih anugerah ini. Fokus saya kini adalah untuk melayakkan diri sekali lagi ke Olimpik, " kata Haziq. Majlis itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Khas Olimpik kepada lima pelajar SSBJ iaitu Pandelela, Haziq, Nurul Shafiqah Hashim (memanah), Traisy Vivien Tukiet (terjun) dan Wendy Ng (terjun).

Dalam ucapannya, Raja Nong Chik berkata pelajar perlu memiliki disiplin tinggi dan kekuatan mental untuk berjaya dalam sukan masing-masing.

Menjadikan sukan golf di Korea Selatan sebagai contoh, beliau berkata walaupun negara itu baru berjinak dengan golf dalam tempoh 10 tahun ini, namun negara berkenaan mampu menghasilkan jaguh-jaguh dunia hasil penerapan disiplin dan kekuatan mental.

"Untuk berjaya dalam apa juga bidang, dua elemen ini mesti ada iaitu kekuatan mental dan disiplin. Kita mesti buktikan walaupun kita mempunyai bilangan penduduk yang kecil, namun kita mampu mencapai taraf dunia," kata Raja Nong Chik.

SSBJ turut menyampaikan anugerah kepada 21 pelajarnya yang berjaya dalam bidang akademik.

Antaranya atlet badminton Lim Yin Fun (Penerima Anugerah Terbaik SPM 2011-Sastera, gimnas Farah Ann Abdul Hadi (Penerima Anugerah Terbaik SPM 2011-Sains dan atlet lompat bergalah Chuah Yu Tian (Penerima Anugerah Terbaik PraUniversiti Sains). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain