suria

Ragbi: Davetalevu Pertahan Gelaran Juara

SANDAKAN: Juara bertahan Davetalevu dari Fiji mempertahankan Kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah selepas menumpaskan Borneo Eagles 35-14 pada perlawanan akhir di padang Kelab Ragbi Sandakan di sini, Ahad.

Perlawanan akhir yang menarik itu menyaksikan kelab Fiji itu bangkit semula selepas ketinggalan 0-14 untuk mengatasi kelab tuan rumah yang terpaksa bermain dengan enam pemain selepas Uale Main diperintah keluar padang, lima minit sebelum perlawanan tamat.

Uale, bekas pemenang anugerah pemain terbaik tujuh sebelah pada 2006, pada mulanya dilayang kad kuning sebelum diberi kad merah selepas mencabar keputusan pengadil.

Borneo Eagles melakukan jaringan awal apabila Chris Eves mencipta 'try' pertama dengan Uale menyempurnakan tendangan untuk mendahului 7-0 sebelum sejurus kemudian Uale melakukan 'try' serta dua mata lagi menerusi 'conversion'.

Bagaimanapun, Davetalevu bangkit semula selepas Maikeli Tago menyempurnkan 'try' disusuli 'conversion' oleh Ratunasa Viatuinruku bagi merapatkan jurang kepada 14-7.

Pasukan Fiji itu menyamakan kedudukan sebelum separuh masa menerusi 'try' oleh Samson Nasagares dan 'conversion' oleh Ratunasa.

Sebaik babak kedua bermula, Davetalevu memaparkan permainan agesif dengan Samson melakukan 'try' manakala Ratunasa sekali lagi melakukan 'conversion' untuk mendahului kedudukan 21-14.

Juara bertahan itu tidak mahu mwengalah malah terus memburu mata dengan Samson menyempurnakan hatrik 'try' dan harapan Borneo Eagles untuk kembali semula dalam permainan tidak kesampaian apabila Timoa Momelevu menutup tirai jaringan dengan percubaan solo pada saat-saat akhir perlawanan.

Atas kejayaan itu, Davetalevu membawa pulang hadiah RM30,404 manakala Borneo Eagles menerima RM15,202.

Dalam pada itu, pasukan Massey dari New Zealand menumpaskan DBKL Dragons untuk menjuara acara Plate manakala Nedlands dari Australia mengalahkan Sabah Eagles 33-26 pada final acara Bowl.

Palmyra dari Australia memenangi acara 'Shield' setelah mengalahkan Tawau Panters 21-5 sementara pasukan pelapis Kesatuan Ragbi Sabah menggondol gelaran Junior dengan mengatasi Sekolah Menengah La Salle Kota Kinabalu 7-5.

Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Peter Pang En Yin bersama presiden Kesatuan Ragbi Sabah merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur, Velayuthan Tan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang. BERNAMA

Artikel Lain